Ahad, 13 Ogos 2017

OUMM3203 ETIKA PROFESIONAL (eutanasia sukarela)

Pengenalan
Bagi mereka yang buat pertama kali mendengar eutanasia sukarela pasti akan tertanya-tanya apakah maksud di sebalik perkataan tersebut. Menurut Kamus Dewan edisi yang ke empat mendefinisikan eutanasia sebagai satu perbuatan mematikan seseorang yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat disembuhkan lagi atas dasar perikemanusiaan supaya pesakit tersebut tidak berpanjangan mengalami azab (Kamus Dewan, 2014). Sukarela pula merujuk kepada kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah, dengan rela hati (Kamus Dewan, 2014). Oleh itu, secara ringkas eutanasia sukarela boleh lah dimaksudkan sebagai satu perbuatan mematikan seseorang yang dalam keazaban akibat penyakit yang kronik atau tiada harapan untuk sembuh lagi secara belas kasihan, tanpa sebarang paksaan demi mencapai kehendak pesakit atau waris.
Dari segi keaslian perkataan ini pula menurut Merriam-Webster Dictionaries (2017) euthanasia berasal dari bahasa Yunani eu (baik) thanatos (mati), yang bermaksud ‘kematian baik’. Dalam bahasa Inggeris, euthanasia telah digunakan dalam pengertian sejak awal abad ketujuh belas, ketika Francis Bacon menggambarkan fenomena tersebut sebagai “mudah, tidak sakit, mati gembira dan tidur yang menyenangkan, di mana ia menjadi tanggungjawab doktor untuk mengurangkan penderitaan fizikal badan pesakit” (Merriam-Webster Dictionaries, 2017).
Manakala dari segi undang-undang mati sukarela menurut Farawahida Mohd Yusof et al. (2013) menyatakan “definisi undang-undang euthanasia dipelbagai negara adalah berbeza. Pada masa kini, hanya beberapa negara yang membenarkan perlaksanaan euthanasia, antaranya ialah negara Belanda, Belgium dan Oregan serta Washington di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, hanya di Belanda, euthanasia dipraktikkan secara terbuka. Belanda dan Belgium membenarkan kedua-dua assisted suicide dan euthanasia, manakala Oregon hanya membenarkan assisted suicide. Sehingga kini, masih terdapat banyak persatuan dan negara berusaha untuk mengesahkan euthanasia. Namun begitu, euthanasia tidak dapat dilaksanakan di seluruh dunia kerana perbuatan tersebut boleh membangkitkan persoalan moral dan implikasi yang terlalu besar dalam pelbagai aspek. Bahkan ia mengundang perspektif bertentangan dengan ajaran agama serta undang-undang yang sedia ada di sesebuah negara. Justeru untuk melaksanakannya di seluruh dunia adalah sukar (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).


Jenis-jenis Eutanasia
Euthanasia boleh dibahagikan kepada beberapa ketegori iaitu euthanasia aktif, euthanasia pasif, voluntary euthanasia, non-voluntary euthanasia dan inoluntary euthanasia  (Mohd Ilham Ismail, 2005).

i) Euthanasia pasif
Bermaksud mempercepatkan kematian dengan cara menghentikan bekalan makanan, air, ubatan atau prosedur-prosedur yang perlu bagi meneruskan hidup pesakit. Pesakit dibiarkan tanpa sebarang rawatan sehingga meninggal dunia dalam keadaan semula jadi disebabkan penyakit yang dialaminya (Rachels, J., 1975).

ii) Euthanasia aktif 
Bermaksud mempercepatkan kematian seperti menyuntik ubatan tertentu yang boleh membawa maut dengan segera. Pada masa yang sama, pembunuhan sebegini dilaksanakan semata-mata untuk menunaikan permintaan seseorang pesakit yang sakit tenat (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).

iii) Euthanasia secara sukarela (voluntary)
Kematiannya berdasarkan permintaannya sama ada secara lisan atau bertulis (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).

iv) Euthanasia secara tidak sukarela (non-voluntary)
Pesakit tidak membuat sebarang permintaan atau wasiat supaya dipercepatkan kematiannya. Juga merujuk kepada proses mempercepatkan kematian pesakit yang berada dalam keadaan tidak sedar, koma atau tidak mampu memberikan reaksi yang dapat difahami. Dalam kes ini, biasanya ahli keluarga si pesakit yang membuat permohonan supaya dipercepatkan kematian (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).

v) Involuntary euthanasia
Apabila seseorang pesakit dipercepatkan kematiannya tanpa permintaan yang jelas (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).


Eutanasia dan isu etika
Sejarah awal eutanasia
Dari segi sejarah awal tamadun manusia, semasa zaman Yunani dan Rom kuno. Sebelum kedatangan agama Kristian. Sikap terhadap pembunuhan bayi, eutanasia aktif, dan bunuh diri; cenderung menjadi amalan dan diterima masyarakat. Kebanyakan orang Yunani dan Rom kuno tidak memiliki keyakinan yang jelas tentang nilai yang melekat dari kehidupan individu manusia, dan doktor pagan sering melakukan pengguguran bayi, pembunuhan tidak disengajakan dan eutanasia sukarela. Meskipun secara etika nya Sumpah Hippocrates melarang doktor memberikan 'ubat mematikan kepada siapa pun, bahkan jika diminta,' atau menyarankan tindakan seperti itu. Sesetengah doktor Yunani atau Rom kuno akur mengikuti sumpah tersebut dengan setia dan berpegang pada prinsip etika profesional ini. Namun, sepanjang zaman klasik terdapat banyak dukungan masyarakat yang menekan untuk eutanasia sukarela dan bukannya penderitaan yang berpanjangan, dan para doktor sering mematuhi permintaan pesakit untuk memberi racun yang mereka minta (ProCon.org, 2013).
Makna Etika
Menurut Ann, H. J., & Kok, T. K., (2013) etika didefinisikan sebagai prinsip tingkah laku individu yang diterima dari segi moral. Etika juga bermaksud kepercayaan peribadi seseorang individu tentang kelakuan yang baik dan buruk. Walaupun definisi ringkas ini menyampaikan intipati etika, namun terdapat tiga implikasi yang perlu diberi pertimbangan lanjut iaitu:
(a) Etika didefinisikan oleh individu. Hanya orang sahaja mempunyai etika, sedangkan organisasi tidak mempunyai etika;
(b) Apa yang membentuk kelakuan beretika boleh berbeza antara seorang dengan yang lain; dan
(c) Etika bersifat relatif; ia bukan mutlak. Ini bermaksud bahawa walaupun sesuatu kelakuan itu dianggap beretika mengikut kaca mata orang yang melihat, ia biasanya perlu akur kepada norma-norma sosial yang diterima umum (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).



Makna Etika Profesional
Menurut Ann, H. J., & Kok, T. K. (2013) menyatakan etika profesional menunjuk kepada nilai-nilai moral yang dibentuk oleh sekumpulan orang yang terlatih dalam bidang yang sama untuk mengawal prestasi tugas atau penggunaan sumber mereka. Golongan profesional menerapkan peraturan-peraturan dan nilai-nilai budaya profesional mereka sama seperti menerap nilai masyarakat. Mereka mematuhi secara refleksif peraturan-peraturan dan nilai-nilai profesional apabila memutuskan bagaimana mereka harus berkelakuan.  (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Prinsip-prinsip etika
Menurut Ann, H. J., & Kok, T. K., (2013) menyatakan “secara universal, kita mempunyai tanggungjawab terhadap orang lain dan terikat dengan konsep betul-salah dalam kelakuan terhadap orang lain. Oleh itu, kaedah analitis yang konsisten untuk mengklasifikasikan tindakan kita sebagai “betul” atau “salah” perlu diwujudkan. Sejak 2,400 tahun lalu kita cuba untuk mewajarkan piawaian moral dan membentuk sistem-sistem etika kerana tiada satu sistem pun yang dianggap sempurna” (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013). Walau bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya tiga teori utama yang berkaitan dan relevan kepada etika. Teori tersebut ialah Teori Undang-Undang Abadi, Teori Etika Klasik Teleologi: Utilitarianisme dan Teori Etika Klasik Deontologi: Universalisme.

i. Teori Undang-Undang Abadi
Pemikiran tentang Undang-Undang Abadi berhubungan rapat dengan rangka normatif yang terdapat dalam alam semula jadi. Rangka normatif diungkapkan oleh para Filsuf Undang-Undang berbeza dan memiliki implikasi yang berlainan antara satu tempoh dengan tempoh yang lainnya. Ada banyak pandangan yang cuba menterjemahkan makna Undang-Undang Abadi sama seperti nasib, keadilan dan ketertiban alam semesta.
“Undang-Undang Abadi bukanlah hukum yang dilakukan secara paksa oleh manusia, tetapi merupakan kewajiban yang menuntut manusia mentaatinya. Undang-Undang Abadi memerintahkan manusia untuk cintai kebaikan dan menjauhi kejahatan, bahkan perlu dihayati dengan hati nurani ” (Nur Hayati, 2004).
Undang-Undang Abadi menurut Thomas Aquinas adalah hukum semula jadi sebagaimana dilihat dalam penciptaan berdasarkan pada kemampuan manusia sendiri, dan menampakkan diri melalui hakikat atau konstitusi berbagai ciptaan. Undang-undang tersebut boleh dikenal pasti dan diterokai oleh sesiapa yang sanggup meluangkan masa mengkaji salah satu di antara alam semula jadi atau kitab suci. 
Menurut Ann, H. J., & Kok, T. K., (2013) menyatakan Thomas Jefferson, adalah orang pertama yang menyokong pemikiran humanisme sekular dan percaya bahawa kebenaran undang-undang adalah suatu hakikat yang nyata. “Jika seseorang mempunyai hak untuk hidup, bebas dan mencari kebahagiaan, maka mereka juga mempunyai kewajipan bagi memastikan hak yang sama kepada orang lain”. Beliau juga berpendapat “Pemimpin agama lebih cenderung  menekankan sumber kebenaran berdasarkan kitab suci berbanding pertimbangan logik”. Walau bagaimanapun, kedudukan undang-undang tersebut tidak berubah-ubah, di mana hak dan kewajipan itu jelas; jika kita disayangi, maka kita mesti menyayangi orang lain. Pertukaran yang saling bersilang ini diringkaskan dalam teologi Kristian melalui Peraturan Keemasan, “Lakukan kepada orang lain seperti mana anda ingin orang lain lakukan terhadap anda” (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Selain itu juga, agama Islam sangat melarang keras tindakan membunuh diri atau seumpama dengannya.  Dalam Islam, “kepercayaan bahawa kehidupan dan kematian manusia adalah ditentukan oleh Allah dan manusia tidak mempunyai hak untuk menamatkan hidupnya sendiri. Isu euthanasia bukan melibatkan kebajikan pesakit sahaja tetapi juga melibatkan sensitiviti ahli keluarga, ahli perubatan, agama dan lain-lain. Isu euthanasia harus diuruskan secara teliti supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat” (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).
Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, eutanasia dijalankan atas permintaan pesakit. Ada kalanya mereka mungkin terlalu sakit dan keputusan itu dibuat oleh waris, ahli perubatan atau dalam keadaan tertentu, mahkamah. Beberapa isu etika timbul di kalangan masyarakat berkenaan isu ini. Antaranya “Apakah tindakan bunuh diri atau memilih cara mati bukan secara semula jadi boleh dijadikan sebagai satu cara yang sah dan diterima pakai sebagai memenuhi sebahagian hak asasi manusia?”
Menurut Nur Hayati (2004) menyatakan “secara falsafah, jika dikaji lebih dalam makna kehidupan, manusia tiada hak untuk hidup karena manusia tidak memiliki hidup itu sendiri sebenarnya. Kehadiran manusia sepenuhnya merupakan kehendak Tuhan Yang Maha Esa. Hal ini terlihat pada kelahiran manusia, di mana ia tidak sewenang nya untuk menentukan bila harus terlahir, dalam kondisi bagaimana akan terlahir, ataupun dari rahim siapa ia akan lahir. Jika hak untuk hidup itu dimiliki oleh manusia, maka ia akan dapat menentukan bila ia akan hidup, dalam kondisi apa ia akan hidup, mahupun dari rahim siapa ia akan memulai hidupnya. Namun ternyata, manusia tidak memiliki hak tersebut. Manusia hanya mengetahui bahawa ia telah terlahir dan telah dikurniai kehidupan” (Nur Hayati, 2004). Oleh itu, secara silang nya menuntut kebebasan hak untuk mati adalah berlawanan dengan fitrah semula jadi hak asasi manusia itu sendiri iaitu kebebasan hak untuk terus hidup.
Walau bagaimanapun mengikut teori undang-undang abadi, piawaian adalah berbeza-beza mengikut kumpulan berlainan dan tiada suatu cara yang berupaya menentukan piawaian mana yang “betul” atau “terbaik” atau “sesuai” bagi sesuatu masyarakat tanpa disangkal. Begitu juga bagi Peraturan Keemasan yang tampak mudah, elegan dan wajar sebagai panduan hidup, tetapi tidak boleh diaplikasikan secara universal pada setiap masa (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).

ii. Teori Etika Klasik Teleology: Utilitarianisme
Teleology berasal daripada istilah Greek yang bermaksud hasil atau keputusan. Oleh itu, pendekatan teleology ke atas etika bergantungan penuh kepada hasil dan bukannya kepada niat seseorang (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Ahli falsafah tradisi Barat seperti Jeremy Bentham dan J. S. Mill mempercayai nilai moral tingkah laku peribadi boleh ditentukan oleh akibat kelakuan. Maka, sesuatu tindakan atau keputusan adalah “betul” jika ia mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Sebaliknya, ia adalah “salah” andai membawa keburukan atau bencana sebagai akibat. Objektif nya ialah, nilai moral tingkah laku peribadi ditentukan dengan cara melihat berapa banyak manfaatnya kepada orang ramai (semaksimum mungkin) di samping melihat berapa banyak keburukan atau bencana (seminimum mungkin) yang akan timbul.
Sistem etika teleology yang memfokuskan kepada baki bersih akibat berbanding dengan niat seseorang individu ini dinamakan sebagai utilitarianisme. Utilitarianisme sering dikaitkan dengan Jeremy Bentham (1748–1832), seorang ahli fikir British. Dalam Teori Utilitarianisme, istilah utiliti ini merujuk kepada persepsi kita terhadap faedah dan kos bersih berkaitan sesuatu tindakan. Utilitarianisme adalah pengagihan kos dan faedahnya. Ia merupakan akibat bersih kepada masyarakat, dan setiap individu dalam masyarakat perlu diambil kira dan diberi perhatian sama rata dalam pengagihan. Dalam erti kata lain, “Kebaikan terbanyak untuk golongan terbanyak” lebih diutamakan dalam Teori Utilitarianisme berbanding dengan “kebaikan terbanyak untuk golongan yang lebih kecil dan elit.”
Kembali kepada permasalahan eutanasia berdasarkan teori Etika Klasik Teleology: Utilitarianisme, di Malaysia amalan eutanasia masih tidak dipraktikkan lagi dan dianggap menyalahi etika sosial majoriti masyarakat Malaysia. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan beberapa jenis undang-undang yang berkaitan membunuh diri, cubaan membunuh dan membunuh. Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574), cubaan membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah atau membunuh (dengan sengaja) Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau percubaan membunuh Seksyen 307 yang membawa penjara maksimum 20 tahun (Undang-Undang Malaysia, 2002).
Di negara lain UK contohnya, menurut BBC News (2014) menyatakan euthanasia adalah menyalahi undang-undang United Kingdom di mana seseorang itu boleh disabaitkan kesalahan jika membantu sesiapa sahaja membunuh diri atau eutanasia sukarela membawa kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun. Isu ini telah sangat panas diperdebatkan selama bertahun-tahun dan dikelilingi oleh pertimbangan agama, etika dan praktikal (BBC News, 2014).
Namun, terdapat kekurangan dalam teori utilitarianisme iaitu kemungkinan berlakunya eksploitasi. Teori Utilitarianisme dianggap gagal jika tiga faktor berikut berlaku:
(a) “kebaikan terbanyak” dan “golongan terbanyak”. Terdapat situasi di mana kedua-dua prinsip ini akan berkonflik apabila kita menghadapi sesuatu keputusan penting. Maka, kita tidak mempunyai cara untuk menentukan tindakan mana yang “betul” atau “sesuai”.
(b) Kita mungkin dapat bersetuju bahawa sesetengah tindakan sememangnya salah, walaupun faedahnya kepada segolongan besar majoriti. Sebagai contoh, mengasingkan para pesakit HIV/AIDS ke sebuah pulau yang terpencil supaya tidak ada lagi manusia yang menerima jangkitan langsung daripada mereka. Tiada sesiapa pun yang harus menerima perbuatan yang sekejam itu.
(c) Adalah mustahil untuk mengimbangi faedah kepada golongan majoriti dengan pengorbanan golongan minoriti (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).

iii. Teori Etika Klasik Deontology: Universalism
Perkataan deontology berasal daripada istilah Greek, iaitu merujuk kepada tugas atau kewajipan seorang individu. Deontology pada dasarnya adalah berlawanan dengan Teori Teleology. 
“Teori Deontology menyatakan nilai moral sesuatu tindakan tidak boleh bergantung kepada akibat kerana akibat tidak jelas dan tidak menentu semasa keputusan untuk bertindak diambil. Sebaliknya, nilai moral sesuatu tindakan haruslah bergantung kepada niat orang yang membuat keputusan atau mengambil tindakan itu sendiri” (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Sebagai contoh, jika anda inginkan yang terbaik untuk orang lain, maka tindakan moral anda perlulah yang terpuji, walaupun anda seorang individu yang kurang menarik dan kurang cekap serta dianggap sering melakukan perkara yang salah. Biasanya niat yang baik ini akan menghasilkan akibat yang berguna.
Sebahagian besar Teori Deontology juga diistilahkan sebagai universalism. Tugas pertama universalism adalah melayani orang lain sebagai matlamat akhir dan bukan sebagai alat atau cara. Orang lain harus dilihat sebagai matlamat tersendiri yang berharga, bermaruah dan harus dihormati, dan bukannya sebagai alat yang bersifat insani untuk mencapai matlamat sendiri. Selaras dengan kewajipan peribadi, tiada tindakan boleh dikira “betul”; sekiranya ia tidak mempedulikan nilai moral manusia lain yang begitu besar (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Dalam mengaplikasikan Teori Etika Klasik Deontology: Universalism kepada isu eutanasia. Kebanyakan pesakit yang masih sedar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berputus asa dan memilih untuk menamatkan hidupnya tanpa kesakitan. Sebaliknya ahli keluarga pesakit mengalami dilema untuk membuat keputusan jika pesakit tersebut berada dalam keadaan koma. Niat untuk melaksanakan euthanasia akan menyebabkan kos perubatan yang ditanggung oleh ahli keluarga dapat diringankan tetapi pada masa yang sama akan timbul persoalan, adakah itu pilihan yang diingini oleh pesakit untuk menamatkan hidupnya? Dalam proses membuat keputusan, ahli keluarga juga akan berhadapan dengan tekanan daripada pelbagai aspek, termasuk masyarakat, diri sendiri dan lain-lain.  
 Manakala dari perspektif perubatan, euthanasia memberi alternatif kepada pesakit dan tindakan ini boleh menamatkan hidup seseorang tanpa kesakitan dan menghentikan penderitaan. Pengamal perubatan memainkan peranan yang penting dalam isu ini kerana pada kebanyakan masa merekalah yang akan bertindak mengambil keputusan sama ada pesakit berkelayakan untuk menerima euthanasia atau tidak. Tetapi pada masa yang sama, sebahagian pesakit akan berasa takut sekiranya pengamal perubatan yang merawatnya berpendapat pesakit tidak dapat disembuhkan dan pengamal perubatan akan melaksanakan euthanasia kepadanya. Keyakinan antara pesakit dengan pengamal perubatan mungkin akan berkurangan sekiranya euthanasia sentiasa dilaksanakan oleh pengamal perubatan.   
Membenarkan euthanasia untuk pesakit yang tenat yang meminta boleh mengakibatkan situasi di mana semua individu yang tenat akan merasa tertekan terhadap euthanasia. Terdapat kebimbangan bahawa pesakit mungkin mula melihat diri mereka sebagai beban ke atas keluarga mereka, rakan-rakan dan masyarakat. Penentang daripada euthanasia juga menegaskan bahawa membenarkan individu untuk menamatkan nyawa mereka boleh membawa kepada situasi di mana kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat seperti golongan yang sakit teruk, kehilangan upaya atau warga tua harus dimatikan sebagai mengikut peraturan atau undang-undang (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).
Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan dalam teori etika klasik Deontology: Universalism ini. Terdapat dua kekurangan dalam teori ini iaitu: 
(a)  Ia adalah satu kaedah pertimbangkan moral yang berguna tetapi ia tidak mempunyai sebarang keutamaan dan darjah; dan
(b)  Adalah sukar melayani orang lain sebagai matlamat dan bukan sebagai alat untuk sepanjang masa, terutamanya apabila ramai yang “bekerja” sebagai alat atau cara ke arah pencapaian matlamat peribadi kita. Sebagai contoh, pegawai perubatan adalah cara untuk kita mendapatkan perkhidmatan perubatan; pesakit adalah kaedah mata pencarian untuk hidup; dan kakitangan adalah sumber untuk mengendalikan klinik dan hospital (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).

Kesimpulan
Akhir sekali, proses pertimbangan moral berasaskan kepada piawaian etika yang diterima umum ke arah mencapai suatu keputusan yang saksama berkenaan sesuatu isu adalah sesuatu yang agak sukar untuk di implimentasikan. Berdasarkan kepada teori yang telah dipilih seperti diatas, terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang signifiken didalam memuaskan hati kedua-dua belah pihak yang terlibat. Pada penghujungnya, satu keputusan yang bakal dibuat itu perlu lah mendapat perhatian dan sokongan masyarakat majoriti, walaupun keperluan itu sangat diperlukan oleh segelintir golongan minoriti masyarakat. Jika suara sokongan itu semakin kurang, maka sesuatu tindakan itu pasti akan mendapat tentangan yang hebat. Euthanasia berlaku apabila manusia hilang rasa hormat pada kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya manusia mengerti dan menghormati kesucian dari kehidupan maka mereka tidak akan memutuskan untuk mengakhiri kehidupannya dengan cara yang sedemikian. Bagi yang menyokong perlaksanaan euthanasia, mereka menerbitkan karya-karya sendiri dan menubuhkan persatuan tetapi bagi sebahagian yang membantah, mereka bertindak melalui penggubalan undang-undang. Ini membuktikan bahawa isu euthanasia tidak dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat dan tindakan ini dianggap sebagai pembunuhan, walaupun tujuan awalnya adalah untuk menamatkan hidup pesakit yang tidak dapat menahan kesakitan yang kritikal. Oleh itu, manusia perlu bijak dalam mentafsir dan menganalisis sebelum mengaplikasikan serta mengamalkan etika yang betul agar tidak membawa kepada berlakunya perkara-perkara negatif yang boleh melanggar fitrah manusia dan syariah Islamiah (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).
























Apendiks
Rujukan
Merriam-Webster Dictionaries. (2017). Euthanasia. Retrieved 30 Mei, 2017, from Where does euthanasia come from?: https://www.merriam-webster.com/dictionary/euthanasia
Ann, H. J., & Kok, T. K. (2013). OUM3203 Etika Profesional (1 ed.). Kuala Lumpur: Open University Malaysia (OUM).
BBC News. (2014). Ethics guide. Retrieved 30 Mei, 2017, from Ethics of euthanasia-introduction: www.bbc.com
Farawahida Mohd Yusof, Tamar Jaya Nizar, Siti Norlia Muhammad, & Nurain Mohd Nazir. (2013). Euthanasia: Melanggar Etika dan Hak Asasi Manusia. Jurnal Teknologi (Science & Engineering), 64(1), 33-41.
Kamus Dewan. (2014). eutanasia (4 ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2014). sukarela (4 ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Ilham Ismail. (23 Mac, 2005). Konsep Otak Mati dan Euthanasia. Retrieved 30 Mei, 2017, from http://members.tripod.com/tibbians/ilham.pdf
Nur Hayati. (2004). Euthanasia Dalam Perspektif Hak Asasi Manusia Dan Kaitannya Dengan Hukum Pidana. Lex Jurnalica, 1(2), 90-99.
ProCon.org. (23 July, 2013). Historical Timeline History of Euthanasia and Physician-Assisted Suicide. Retrieved 30 May, 2017, from 5th Century B.C.-1st Century B.C. - Ancient Greeks and Romans Tend to Support Euthanasia: http://euthanasia.procon.org/view.timeline.php?timelineID=000022
Rachels, J. (1975). Active and Passive Euthanasia. The New England Journal of Medicine, 292, 78-80.
Undang-Undang Malaysia. (10 Oktober, 2002). Kanun Keseksaan (Akta 574). Retrieved 30 Mei , 2017, from International Law Book Service: http://infolibnews.bernama.com:8080/doc/3033.pdf