Pengenalan
Bagi mereka yang buat pertama kali mendengar eutanasia
sukarela pasti akan tertanya-tanya apakah maksud di sebalik perkataan tersebut.
Menurut Kamus Dewan edisi yang ke empat mendefinisikan eutanasia sebagai satu
perbuatan mematikan seseorang yang menanggung azab penyakit yang tidak dapat
disembuhkan lagi atas dasar perikemanusiaan supaya pesakit tersebut tidak
berpanjangan mengalami azab (Kamus Dewan, 2014).
Sukarela pula merujuk kepada kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak
dikerah, dengan rela hati (Kamus Dewan, 2014).
Oleh itu, secara ringkas eutanasia sukarela boleh lah dimaksudkan sebagai satu
perbuatan mematikan seseorang yang dalam keazaban akibat penyakit yang kronik
atau tiada harapan untuk sembuh lagi secara belas kasihan, tanpa sebarang
paksaan demi mencapai kehendak pesakit atau waris.
Dari segi keaslian perkataan ini pula menurut Merriam-Webster Dictionaries (2017) euthanasia berasal dari bahasa Yunani eu
(baik) thanatos (mati), yang bermaksud ‘kematian baik’. Dalam bahasa Inggeris, euthanasia telah digunakan dalam pengertian sejak awal abad ketujuh
belas, ketika Francis Bacon menggambarkan fenomena tersebut sebagai “mudah,
tidak sakit, mati gembira dan tidur yang menyenangkan, di mana ia menjadi
tanggungjawab doktor untuk mengurangkan penderitaan fizikal badan pesakit” (Merriam-Webster Dictionaries, 2017).
Manakala dari segi undang-undang mati sukarela menurut Farawahida Mohd Yusof et al. (2013) menyatakan
“definisi undang-undang euthanasia dipelbagai negara adalah berbeza. Pada masa
kini, hanya beberapa negara yang membenarkan perlaksanaan euthanasia, antaranya
ialah negara Belanda, Belgium dan Oregan serta Washington di Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, hanya di Belanda, euthanasia dipraktikkan secara terbuka.
Belanda dan Belgium membenarkan kedua-dua assisted
suicide dan euthanasia, manakala Oregon hanya membenarkan assisted suicide. Sehingga kini, masih
terdapat banyak persatuan dan negara berusaha untuk mengesahkan euthanasia.
Namun begitu, euthanasia tidak dapat dilaksanakan di seluruh dunia kerana
perbuatan tersebut boleh membangkitkan persoalan moral dan implikasi yang
terlalu besar dalam pelbagai aspek. Bahkan ia mengundang perspektif
bertentangan dengan ajaran agama serta undang-undang yang sedia ada di sesebuah
negara. Justeru untuk melaksanakannya di seluruh dunia adalah sukar (Farawahida
Mohd Yusof et al., 2013).
Jenis-jenis Eutanasia
Euthanasia boleh
dibahagikan kepada beberapa ketegori iaitu euthanasia
aktif, euthanasia pasif, voluntary euthanasia, non-voluntary euthanasia dan inoluntary euthanasia (Mohd Ilham Ismail, 2005).
i)
Euthanasia pasif
Bermaksud mempercepatkan
kematian dengan cara menghentikan bekalan makanan, air, ubatan atau
prosedur-prosedur yang perlu bagi meneruskan hidup pesakit. Pesakit dibiarkan
tanpa sebarang rawatan sehingga meninggal dunia dalam keadaan semula jadi
disebabkan penyakit yang dialaminya (Rachels, J., 1975).
ii)
Euthanasia aktif
Bermaksud mempercepatkan
kematian seperti menyuntik ubatan tertentu yang boleh membawa maut dengan
segera. Pada masa yang sama, pembunuhan sebegini dilaksanakan semata-mata untuk
menunaikan permintaan seseorang pesakit yang sakit tenat (Farawahida Mohd Yusof
et al., 2013).
iii)
Euthanasia secara sukarela (voluntary)
Kematiannya berdasarkan
permintaannya sama ada secara lisan atau bertulis (Farawahida Mohd Yusof et
al., 2013).
iv)
Euthanasia secara tidak sukarela (non-voluntary)
Pesakit tidak membuat sebarang
permintaan atau wasiat supaya dipercepatkan kematiannya. Juga merujuk kepada
proses mempercepatkan kematian pesakit yang berada dalam keadaan tidak sedar,
koma atau tidak mampu memberikan reaksi yang dapat difahami. Dalam kes ini,
biasanya ahli keluarga si pesakit yang membuat permohonan supaya dipercepatkan
kematian (Farawahida Mohd Yusof et al., 2013).
v)
Involuntary euthanasia
Apabila seseorang pesakit
dipercepatkan kematiannya tanpa permintaan yang jelas (Farawahida Mohd Yusof et
al., 2013).
Eutanasia dan isu etika
Sejarah awal eutanasia
Dari segi sejarah awal tamadun
manusia, semasa zaman Yunani dan Rom kuno. Sebelum
kedatangan agama Kristian. Sikap terhadap pembunuhan bayi, eutanasia aktif, dan
bunuh diri; cenderung menjadi amalan dan diterima masyarakat. Kebanyakan orang
Yunani dan Rom kuno tidak memiliki keyakinan yang jelas tentang nilai yang
melekat dari kehidupan individu manusia, dan doktor pagan sering melakukan
pengguguran bayi, pembunuhan tidak disengajakan dan eutanasia sukarela.
Meskipun secara etika nya Sumpah Hippocrates melarang doktor memberikan 'ubat mematikan kepada siapa pun, bahkan
jika diminta,' atau menyarankan tindakan seperti itu. Sesetengah doktor
Yunani atau Rom kuno akur mengikuti sumpah tersebut dengan setia dan berpegang
pada prinsip etika profesional ini. Namun, sepanjang zaman klasik terdapat banyak
dukungan masyarakat yang menekan untuk eutanasia sukarela dan bukannya
penderitaan yang berpanjangan, dan para doktor sering mematuhi permintaan
pesakit untuk memberi racun yang mereka minta
(ProCon.org, 2013).
Makna Etika
Menurut Ann, H. J., & Kok, T. K., (2013) etika didefinisikan sebagai
prinsip tingkah laku individu yang diterima dari segi moral. Etika juga
bermaksud kepercayaan peribadi seseorang individu tentang kelakuan yang baik
dan buruk. Walaupun definisi ringkas ini menyampaikan intipati etika, namun
terdapat tiga implikasi yang perlu diberi pertimbangan lanjut iaitu:
(a) Etika didefinisikan oleh
individu. Hanya orang sahaja mempunyai etika, sedangkan organisasi tidak
mempunyai etika;
(b) Apa yang membentuk kelakuan
beretika boleh berbeza antara seorang dengan yang lain; dan
(c) Etika bersifat relatif; ia
bukan mutlak. Ini bermaksud bahawa walaupun sesuatu kelakuan itu dianggap
beretika mengikut kaca mata orang yang melihat, ia biasanya perlu akur kepada
norma-norma sosial yang diterima umum (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Makna Etika Profesional
Menurut Ann, H. J., & Kok,
T. K. (2013) menyatakan etika profesional menunjuk kepada nilai-nilai moral
yang dibentuk oleh sekumpulan orang yang terlatih dalam bidang yang sama untuk
mengawal prestasi tugas atau penggunaan sumber mereka. Golongan profesional
menerapkan peraturan-peraturan dan nilai-nilai budaya profesional mereka sama
seperti menerap nilai masyarakat. Mereka mematuhi secara refleksif peraturan-peraturan
dan nilai-nilai profesional apabila memutuskan bagaimana mereka harus
berkelakuan. (Ann, H. J., & Kok, T.
K., 2013).
Prinsip-prinsip etika
Menurut Ann, H. J., &
Kok, T. K., (2013) menyatakan “secara universal, kita mempunyai tanggungjawab
terhadap orang lain dan terikat dengan konsep betul-salah dalam kelakuan terhadap
orang lain. Oleh itu, kaedah analitis yang konsisten untuk mengklasifikasikan
tindakan kita sebagai “betul” atau “salah” perlu diwujudkan. Sejak 2,400 tahun
lalu kita cuba untuk mewajarkan piawaian moral dan membentuk sistem-sistem
etika kerana tiada satu sistem pun yang dianggap sempurna” (Ann, H. J., &
Kok, T. K., 2013). Walau bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya tiga teori
utama yang berkaitan dan relevan kepada etika. Teori tersebut ialah Teori Undang-Undang
Abadi, Teori Etika Klasik Teleologi: Utilitarianisme dan Teori Etika Klasik
Deontologi: Universalisme.
i. Teori Undang-Undang Abadi
Pemikiran tentang Undang-Undang Abadi berhubungan rapat
dengan rangka normatif yang terdapat dalam alam semula jadi. Rangka normatif diungkapkan
oleh para Filsuf Undang-Undang berbeza dan memiliki implikasi yang berlainan
antara satu tempoh dengan tempoh yang lainnya. Ada banyak pandangan yang cuba
menterjemahkan makna Undang-Undang Abadi sama seperti nasib, keadilan dan
ketertiban alam semesta.
“Undang-Undang Abadi bukanlah hukum yang dilakukan
secara paksa oleh manusia, tetapi merupakan kewajiban yang menuntut manusia
mentaatinya. Undang-Undang Abadi memerintahkan manusia untuk cintai kebaikan
dan menjauhi kejahatan, bahkan perlu dihayati dengan hati nurani ” (Nur Hayati, 2004).
Undang-Undang Abadi menurut Thomas Aquinas adalah hukum
semula jadi sebagaimana dilihat dalam penciptaan berdasarkan pada kemampuan
manusia sendiri, dan menampakkan diri melalui hakikat atau konstitusi berbagai
ciptaan. Undang-undang tersebut boleh dikenal pasti dan diterokai oleh sesiapa
yang sanggup meluangkan masa mengkaji salah satu di antara alam semula jadi
atau kitab suci.
Menurut Ann, H. J., &
Kok, T. K., (2013) menyatakan Thomas Jefferson, adalah orang pertama
yang menyokong pemikiran humanisme sekular dan percaya bahawa kebenaran
undang-undang adalah suatu hakikat yang nyata. “Jika seseorang mempunyai hak
untuk hidup, bebas dan mencari kebahagiaan, maka mereka juga mempunyai
kewajipan bagi memastikan hak yang sama kepada orang lain”. Beliau juga
berpendapat “Pemimpin agama lebih cenderung
menekankan sumber kebenaran berdasarkan kitab suci berbanding
pertimbangan logik”. Walau bagaimanapun, kedudukan undang-undang tersebut tidak
berubah-ubah, di mana hak dan kewajipan itu jelas; jika kita disayangi, maka
kita mesti menyayangi orang lain. Pertukaran yang saling bersilang ini
diringkaskan dalam teologi Kristian melalui Peraturan Keemasan, “Lakukan kepada
orang lain seperti mana anda ingin orang lain lakukan terhadap anda” (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Selain itu juga, agama Islam sangat melarang keras
tindakan membunuh diri atau seumpama dengannya.
Dalam Islam, “kepercayaan bahawa kehidupan dan kematian manusia adalah
ditentukan oleh Allah dan manusia tidak mempunyai hak untuk menamatkan hidupnya
sendiri. Isu euthanasia bukan melibatkan kebajikan pesakit sahaja tetapi juga
melibatkan sensitiviti ahli keluarga, ahli perubatan, agama dan lain-lain. Isu
euthanasia harus diuruskan secara teliti supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan
dalam kalangan masyarakat” (Farawahida Mohd
Yusof et al., 2013).
Dalam kebanyakan kes yang dilaporkan, eutanasia
dijalankan atas permintaan pesakit. Ada kalanya mereka mungkin terlalu sakit
dan keputusan itu dibuat oleh waris, ahli perubatan atau dalam keadaan
tertentu, mahkamah. Beberapa isu etika timbul di kalangan masyarakat berkenaan
isu ini. Antaranya “Apakah tindakan bunuh diri atau memilih cara mati bukan
secara semula jadi boleh dijadikan sebagai satu cara yang sah dan diterima pakai
sebagai memenuhi sebahagian hak asasi manusia?”
Menurut Nur Hayati (2004)
menyatakan “secara falsafah, jika dikaji lebih dalam makna kehidupan,
manusia tiada hak untuk hidup karena manusia tidak memiliki hidup itu sendiri
sebenarnya. Kehadiran manusia sepenuhnya merupakan kehendak Tuhan Yang Maha
Esa. Hal ini terlihat pada kelahiran manusia, di mana ia tidak sewenang nya
untuk menentukan bila harus terlahir, dalam kondisi bagaimana akan terlahir,
ataupun dari rahim siapa ia akan lahir. Jika hak untuk hidup itu dimiliki oleh
manusia, maka ia akan dapat menentukan bila ia akan hidup, dalam kondisi apa ia
akan hidup, mahupun dari rahim siapa ia akan memulai hidupnya. Namun ternyata,
manusia tidak memiliki hak tersebut. Manusia hanya mengetahui bahawa ia telah
terlahir dan telah dikurniai kehidupan” (Nur
Hayati, 2004). Oleh itu, secara silang nya menuntut kebebasan hak untuk
mati adalah berlawanan dengan fitrah semula jadi hak asasi manusia itu sendiri
iaitu kebebasan hak untuk terus hidup.
Walau bagaimanapun mengikut teori undang-undang abadi,
piawaian adalah berbeza-beza mengikut kumpulan berlainan dan tiada suatu cara
yang berupaya menentukan piawaian mana yang “betul” atau “terbaik” atau “sesuai”
bagi sesuatu masyarakat tanpa disangkal. Begitu juga bagi Peraturan Keemasan yang
tampak mudah, elegan dan wajar sebagai panduan hidup, tetapi tidak boleh
diaplikasikan secara universal pada setiap masa (Ann,
H. J., & Kok, T. K., 2013).
ii. Teori Etika Klasik Teleology: Utilitarianisme
Teleology berasal daripada istilah Greek yang bermaksud hasil atau keputusan.
Oleh itu, pendekatan teleology ke atas etika bergantungan penuh kepada hasil dan
bukannya kepada niat seseorang (Ann, H. J.,
& Kok, T. K., 2013).
Ahli falsafah tradisi Barat seperti Jeremy Bentham dan
J. S. Mill mempercayai nilai moral tingkah laku peribadi boleh ditentukan oleh
akibat kelakuan. Maka, sesuatu tindakan atau keputusan adalah “betul” jika ia
mendatangkan manfaat kepada orang ramai. Sebaliknya, ia adalah “salah” andai
membawa keburukan atau bencana sebagai akibat. Objektif nya ialah, nilai moral
tingkah laku peribadi ditentukan dengan cara melihat berapa banyak manfaatnya
kepada orang ramai (semaksimum mungkin) di samping melihat berapa banyak
keburukan atau bencana (seminimum mungkin) yang akan timbul.
Sistem etika teleology yang memfokuskan kepada baki
bersih akibat berbanding dengan niat seseorang individu ini dinamakan sebagai
utilitarianisme. Utilitarianisme sering dikaitkan dengan Jeremy Bentham
(1748–1832), seorang ahli fikir British. Dalam Teori Utilitarianisme, istilah
utiliti ini merujuk kepada persepsi kita terhadap faedah dan kos bersih
berkaitan sesuatu tindakan. Utilitarianisme adalah pengagihan kos dan faedahnya.
Ia merupakan akibat bersih kepada masyarakat, dan setiap individu dalam
masyarakat perlu diambil kira dan diberi perhatian sama rata dalam pengagihan.
Dalam erti kata lain, “Kebaikan terbanyak untuk golongan terbanyak” lebih
diutamakan dalam Teori Utilitarianisme berbanding dengan “kebaikan terbanyak
untuk golongan yang lebih kecil dan elit.”
Kembali kepada permasalahan eutanasia berdasarkan teori Etika
Klasik Teleology: Utilitarianisme, di Malaysia amalan eutanasia masih tidak
dipraktikkan lagi dan dianggap menyalahi etika sosial majoriti masyarakat
Malaysia. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan beberapa jenis undang-undang yang
berkaitan membunuh diri, cubaan membunuh dan membunuh. Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574), cubaan
membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau
kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah atau membunuh (dengan sengaja) Seksyen
302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau percubaan membunuh Seksyen
307 yang membawa penjara maksimum 20 tahun (Undang-Undang Malaysia, 2002).
Di negara lain UK contohnya, menurut BBC News (2014) menyatakan euthanasia adalah menyalahi
undang-undang United Kingdom di mana seseorang itu boleh disabaitkan kesalahan
jika membantu sesiapa sahaja membunuh diri atau eutanasia sukarela membawa
kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun. Isu ini telah sangat panas
diperdebatkan selama bertahun-tahun dan dikelilingi oleh pertimbangan agama,
etika dan praktikal (BBC News, 2014).
Namun, terdapat kekurangan dalam teori utilitarianisme
iaitu kemungkinan berlakunya eksploitasi. Teori Utilitarianisme dianggap gagal
jika tiga faktor berikut berlaku:
(a) “kebaikan terbanyak” dan “golongan terbanyak”. Terdapat situasi
di mana kedua-dua prinsip ini akan berkonflik apabila kita menghadapi sesuatu
keputusan penting. Maka, kita tidak mempunyai cara untuk menentukan tindakan
mana yang “betul” atau “sesuai”.
(b) Kita mungkin dapat bersetuju bahawa sesetengah tindakan
sememangnya salah, walaupun faedahnya kepada segolongan besar majoriti. Sebagai
contoh, mengasingkan para pesakit HIV/AIDS ke sebuah pulau yang terpencil
supaya tidak ada lagi manusia yang menerima jangkitan langsung daripada mereka.
Tiada sesiapa pun yang harus menerima perbuatan yang sekejam itu.
(c) Adalah mustahil untuk mengimbangi faedah kepada golongan
majoriti dengan pengorbanan golongan minoriti (Ann,
H. J., & Kok, T. K., 2013).
iii. Teori Etika Klasik Deontology: Universalism
Perkataan deontology berasal daripada istilah Greek,
iaitu merujuk kepada tugas atau kewajipan seorang individu. Deontology pada
dasarnya adalah berlawanan dengan Teori Teleology.
“Teori Deontology menyatakan nilai moral sesuatu
tindakan tidak boleh bergantung kepada akibat kerana akibat tidak jelas dan
tidak menentu semasa keputusan untuk bertindak diambil. Sebaliknya, nilai moral
sesuatu tindakan haruslah bergantung kepada niat orang yang membuat keputusan
atau mengambil tindakan itu sendiri” (Ann, H.
J., & Kok, T. K., 2013).
Sebagai contoh, jika anda inginkan yang terbaik untuk
orang lain, maka tindakan moral anda perlulah yang terpuji, walaupun anda
seorang individu yang kurang menarik dan kurang cekap serta dianggap sering
melakukan perkara yang salah. Biasanya niat yang baik ini akan menghasilkan
akibat yang berguna.
Sebahagian besar Teori Deontology juga diistilahkan
sebagai universalism. Tugas pertama universalism adalah melayani orang lain
sebagai matlamat akhir dan bukan sebagai alat atau cara. Orang lain harus
dilihat sebagai matlamat tersendiri yang berharga, bermaruah dan harus
dihormati, dan bukannya sebagai alat yang bersifat insani untuk mencapai
matlamat sendiri. Selaras dengan kewajipan peribadi, tiada tindakan boleh
dikira “betul”; sekiranya ia tidak mempedulikan nilai moral manusia lain yang
begitu besar (Ann, H. J., & Kok, T. K.,
2013).
Dalam mengaplikasikan Teori Etika Klasik Deontology:
Universalism kepada isu eutanasia. Kebanyakan pesakit yang masih sedar
mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berputus asa dan memilih untuk
menamatkan hidupnya tanpa kesakitan. Sebaliknya ahli keluarga pesakit mengalami
dilema untuk membuat keputusan jika pesakit tersebut berada dalam keadaan koma.
Niat untuk melaksanakan euthanasia akan menyebabkan kos perubatan yang
ditanggung oleh ahli keluarga dapat diringankan tetapi pada masa yang sama akan
timbul persoalan, adakah itu pilihan yang diingini oleh pesakit untuk
menamatkan hidupnya? Dalam proses membuat keputusan, ahli keluarga juga akan
berhadapan dengan tekanan daripada pelbagai aspek, termasuk masyarakat, diri
sendiri dan lain-lain.
Manakala dari
perspektif perubatan, euthanasia memberi alternatif kepada pesakit dan tindakan
ini boleh menamatkan hidup seseorang tanpa kesakitan dan menghentikan
penderitaan. Pengamal perubatan memainkan peranan yang penting dalam isu ini
kerana pada kebanyakan masa merekalah yang akan bertindak mengambil keputusan
sama ada pesakit berkelayakan untuk menerima euthanasia atau tidak. Tetapi pada
masa yang sama, sebahagian pesakit akan berasa takut sekiranya pengamal
perubatan yang merawatnya berpendapat pesakit tidak dapat disembuhkan dan
pengamal perubatan akan melaksanakan euthanasia kepadanya. Keyakinan antara
pesakit dengan pengamal perubatan mungkin akan berkurangan sekiranya euthanasia
sentiasa dilaksanakan oleh pengamal perubatan.
Membenarkan euthanasia untuk pesakit yang tenat yang
meminta boleh mengakibatkan situasi di mana semua individu yang tenat akan
merasa tertekan terhadap euthanasia. Terdapat kebimbangan bahawa pesakit
mungkin mula melihat diri mereka sebagai beban ke atas keluarga mereka,
rakan-rakan dan masyarakat. Penentang daripada euthanasia juga menegaskan
bahawa membenarkan individu untuk menamatkan nyawa mereka boleh membawa kepada
situasi di mana kumpulan-kumpulan tertentu dalam masyarakat seperti golongan
yang sakit teruk, kehilangan upaya atau warga tua harus dimatikan sebagai
mengikut peraturan atau undang-undang (Farawahida
Mohd Yusof et al., 2013).
Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan dalam teori
etika klasik Deontology: Universalism ini. Terdapat dua kekurangan dalam teori
ini iaitu:
(a) Ia adalah satu kaedah
pertimbangkan moral yang berguna tetapi ia tidak mempunyai sebarang keutamaan
dan darjah; dan
(b) Adalah sukar melayani
orang lain sebagai matlamat dan bukan sebagai alat untuk sepanjang masa, terutamanya
apabila ramai yang “bekerja” sebagai alat atau cara ke arah pencapaian matlamat
peribadi kita. Sebagai contoh, pegawai perubatan adalah cara untuk kita
mendapatkan perkhidmatan perubatan; pesakit adalah kaedah mata pencarian untuk
hidup; dan kakitangan adalah sumber untuk mengendalikan klinik dan hospital (Ann, H. J., & Kok, T. K., 2013).
Kesimpulan
Akhir sekali, proses
pertimbangan moral berasaskan kepada piawaian
etika yang diterima umum ke arah mencapai suatu keputusan yang saksama
berkenaan sesuatu isu adalah sesuatu
yang agak sukar untuk di implimentasikan. Berdasarkan kepada teori yang telah
dipilih seperti diatas, terdapat beberapa kelebihan dan kekurangan yang
signifiken didalam memuaskan hati kedua-dua belah pihak yang terlibat. Pada
penghujungnya, satu keputusan yang bakal dibuat itu perlu lah mendapat
perhatian dan sokongan masyarakat majoriti, walaupun keperluan itu sangat
diperlukan oleh segelintir golongan minoriti masyarakat. Jika suara sokongan
itu semakin kurang, maka sesuatu tindakan itu pasti akan mendapat tentangan
yang hebat. Euthanasia berlaku apabila manusia hilang
rasa hormat pada kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya manusia mengerti dan
menghormati kesucian dari kehidupan maka mereka tidak akan memutuskan untuk
mengakhiri kehidupannya dengan cara yang sedemikian. Bagi yang menyokong
perlaksanaan euthanasia, mereka menerbitkan karya-karya sendiri dan menubuhkan
persatuan tetapi bagi sebahagian yang membantah, mereka bertindak melalui
penggubalan undang-undang. Ini membuktikan bahawa isu euthanasia tidak dapat
diterima oleh semua lapisan masyarakat dan tindakan ini dianggap sebagai
pembunuhan, walaupun tujuan awalnya adalah untuk menamatkan hidup pesakit yang
tidak dapat menahan kesakitan yang kritikal. Oleh itu, manusia perlu bijak dalam
mentafsir dan menganalisis sebelum mengaplikasikan serta mengamalkan etika yang
betul agar tidak membawa kepada berlakunya perkara-perkara negatif yang boleh
melanggar fitrah manusia dan syariah Islamiah (Farawahida
Mohd Yusof et al., 2013).
Apendiks
Rujukan
Merriam-Webster Dictionaries. (2017). Euthanasia.
Retrieved 30 Mei, 2017, from Where does euthanasia come from?:
https://www.merriam-webster.com/dictionary/euthanasia
Ann, H. J., & Kok, T. K. (2013). OUM3203
Etika Profesional (1 ed.). Kuala Lumpur: Open University Malaysia (OUM).
BBC News. (2014). Ethics guide.
Retrieved 30 Mei, 2017, from Ethics of euthanasia-introduction: www.bbc.com
Farawahida Mohd Yusof, Tamar Jaya Nizar,
Siti Norlia Muhammad, & Nurain Mohd Nazir. (2013). Euthanasia: Melanggar
Etika dan Hak Asasi Manusia. Jurnal Teknologi (Science & Engineering),
64(1), 33-41.
Kamus Dewan. (2014). eutanasia (4
ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2014). sukarela (4
ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Ilham Ismail. (23 Mac, 2005). Konsep
Otak Mati dan Euthanasia. Retrieved 30 Mei, 2017, from
http://members.tripod.com/tibbians/ilham.pdf
Nur Hayati. (2004). Euthanasia Dalam
Perspektif Hak Asasi Manusia Dan Kaitannya Dengan Hukum Pidana. Lex
Jurnalica, 1(2), 90-99.
ProCon.org. (23 July, 2013). Historical
Timeline History of Euthanasia and Physician-Assisted Suicide. Retrieved 30
May, 2017, from 5th Century B.C.-1st Century B.C. - Ancient Greeks and Romans
Tend to Support Euthanasia:
http://euthanasia.procon.org/view.timeline.php?timelineID=000022
Rachels, J. (1975). Active and Passive
Euthanasia. The New England Journal of Medicine, 292, 78-80.
Undang-Undang Malaysia. (10 Oktober, 2002).
Kanun Keseksaan (Akta 574). Retrieved 30 Mei , 2017, from International
Law Book Service: http://infolibnews.bernama.com:8080/doc/3033.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan