CBCT 2203
KONSEP ASAS TEKNOLOGI MAKLUMAT
Meor Mohd Jamil Bin Zaiyan
Pengenalan
Bagi bergerak mengikut arus
kemodenan yang dirancang. Kerajaan telah menubuhkan sebuah badan yang dinamakan
sebagai Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau MDEC untuk memperkenalkan MSC
Malaysia. Sebagai sebuah organisasi khas yang berperanan menentukan hala tuju
dan memantau MSC Malaysia, MDEC berperanan menetapkan set piawaian bagi operasi
multimedia dan digital, membangunkan amalan khusus industri, dan menasihati
Kerajaan Malaysia mengenai dasar dan perundangan. MDEC juga bertanggungjawab
untuk mempromosikan MSC Malaysia di dalam negara dan di peringkat antarabangsa
di samping memberi sokongan strategik kepada syarikat-syarikat berstatus MSC
Malaysia (MDEC, 2015).
Namun apakah kita tahu apa itu MSC
Malaysia dan status aplikasi perdananya? Menurut penerangan yang diberikan oleh
Institut Tadbir Awam Negara (INTAN) melalui laman web nya bertajuk “Pelaksanaan Kerajaan Elektronik Malaysia”
menyatakan MSC adalah merujuk kepada singkatan bagi perkataan Multimedia Super
Corridor (Koridor Raya Multimedia). Ia secara asalnya melibatkan kawasan seluas
15x50km² bermula dari kawasan Menara Berkembar Petronas, bandar Putrajaya,
bandar Cyberjaya dan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur. Namun pada tarikh 7 Disember 2006 pertambahan
berlaku di mana ia melibatkan kemasukan Pelabuhan Klang di dalam MSC. Projek
ini adalah hasil usaha sama antara kerajaan Malaysia dan sektor swasta. Majlis
perasmian telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun
Dr. Mahathir semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996 (INTAN, 2008) .
Manakala Portal Rasmi MSC Malaysia
(2017) menyatakan MSC Malaysia adalah pintu masuk kepada industri ICT di
Malaysia dan rantau Asia. Bagi memesatkan evolusi MSC, kerajaan Malaysia telah
menubuhkan tujuh aplikasi multimedia untuk mewujudkan pelaksanaan teknologi
maju. Tujuh aplikasi tersebut ialah: i).
Sekolah Bestari, ii). Kerajaan Elektronik, iii). Penggunaan Multipurpose Card,
iv). Cluster Penyelidikan & Pembangunan, v). Worldwide Manufacturing Web,
vi). Pemasaran tanpa sempadan, dan vii). Tele-kesihatan (MSCMalaysia, 2015).
Selain itu juga, pengiktirafan
status MSC Malaysia melayakkan entiti perniagaan yang terpilih menikmati
insentif, hak dan keistimewaan dari Kerajaan Malaysia, iaitu Akta Jaminan MSC
Malaysia atau Bill of Guarantees (BoG). BoG melambangkan hasrat kerajaan untuk
menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pembangunan entiti perniagaan .
Segala insentif, hak dan keistimewaan yang diberi adalah tertakluk kepada
syarat di bawah undang-undang dan peraturan yang berkaitan (MDEC, 2015).
i. Objektif yang akan dicapai oleh pihak
kerajaan melalui pelaksanaan MSC Malaysia
Melalui Portal Rasmi MSC Malaysia
(2017) menyatakan di antara objektif yang akan dicapai oleh kerajaan Malaysia
melalui “tujuh aplikasi perdananya” ialah seperti berikut:
a.
Sekolah Bestari diwujudkan bertujuan melahirkan
generasi baru rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif dalam pemikiran agar
mereka mahir dengan teknologi baru, dan dapat menguruskan ledakan maklumat ini
untuk mengubah kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.
b.
Kerajaan Elektronik bertujuan untuk mencipta semula
perkhidmatan awam menggunakan multimedia dan teknologi maklumat. Rakyat
Malaysia boleh melihat perubahan dalam cara Kerajaan berinteraksi bersama
perniagaan dan rakyat.
c.
Penggunaan multipurpose card adalah untuk
memudahkan rakyat Malaysia dalam menjalankan urus niaga dengan Kerajaan dan
syarikat swasta.
d.
Cluster Penyelidikan & Pembangunan membantu untuk
memastikan bahawa MSC merupakan lokasi menarik bagi syarikat-syarikat untuk
membangunkan teknologi multimedia dan inovasi baru bagi generasi baru.
e.
Worldwide Manufacturing Web bertujuan untuk
meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan di rantau ini. Inisiatif ini
bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang optimum dalam pembuatan dan
perkhidmatan syarikat untuk memberi perkhidmatan dan produk nilai tambah kepada
pelanggan.
f.
Pemasaran tanpa sempadan direka untuk
menggalakkan syarikat yang berstatus MSC untuk menggunakan teknologi multimedia
dalam pelbagai aspek, misalnya menyampaikan mesej pemasaran, perkhidmatan
pelanggan, dan produk maklumat kepada pelanggan
g.
Tele-kesihatan pula bertujuan untuk meningkatkan
kualiti penjagaan kesihatan untuk rakyatnya (MDEC,
2015).
Manakala objektif kerajaan menubuhkan Akta Jaminan (BoG)
adalah seperti berikut:
1.
BoG No. 1:
Menyediakan infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia. Objektif Polisi - Untuk menyediakan
persekitaran yang kondusif bagi syarikat untuk menjalankan operasi perniagaan,
menjalankan penyelidikan dan membangun teknologi, aplikasi dan produk baru.
2.
BoG No. 2:
Membenarkan pengambilan Knowledge Worker tempatan dan asing tanpa had. Objektif Polisi - Mencapai visi
Malaysia untuk menjadi pusat ICT global dengan membekalkan modal insan
profesional demi memenuhi keperluan industri.
3.
BoG No. 3:
Memastikan kebebasan hak milik dengan mengecualikan syarikat berstatus MSC
Malaysia dari undang-undang pemilikan tempatan. Objektif Polisi - Pihak Kerajaan menyedari kepentingan menarik
syarikat terkemuka dunia serta syarikat multinasional untuk membuka pusat
global/ serantau dan/ atau mengendalikan operasi perniagaan, menjalankan
penyelidikan serta membangunkan teknologi, aplikasi dan produk baru di MSC
Malaysia.
4.
BoG No. 4:
Memberikan kebebasan dan hak untuk mencari modal secara global untuk
infrastruktur MSC Malaysia. Objektif
Polisi - Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosi Malaysia
sebagai pusat ICT global, kerajaan mengiktiraf kepentingan syarikat berstatus
MSC Malaysia mendapatkan sumber modal dan dana secara global.
5.
BoG No. 5:
Menyediakan insentif kewangan kompetitif, termasuklah status perintis yang
memberikan pelepasan cukai 100% sehingga 10 tahun atau Elaun Pelaburan Cukai
sehingga 5 tahun, dan tiada duti import peralatan multimedia akan dikenakan. Objektif Polisi - Menggalakkan
perkembangan entiti perniagaan berstatus MSC dan menyerlahkan nilai kompetitif
produk dan perkhidmatan mereka.
6.
BoG No. 6: Menjadi
pemimpin serantau dalam perlindungan harta intelek dan undang-undang siber. Objektif Polisi - Untuk mengenal pasti
kepentingan Harta Intelek sebagai jentera pembangunan kemajuan ekonomi dan
sosial, di samping membangunkan keperluan untuk mengadakan rangka kerja
undang-undang siber untuk menghadapi cabaran dalam industri ICT.
7.
BoG No. 7:
Menjamin tiada penapisan Internet. Objektif
Polisi - Mengenal pasti kepentingan peranan Internet sebagai pemudah cara
maklumat dan inovasi dan menyediakan asas untuk penambahan kualiti kerja dan
hidup yang berterusan.
8.
BoG No. 8:
Menyediakan tarif telekomunikasi global yang berdaya saing. Objektif Polisi - Untuk mengenal pasti
peranan penting tarif telekomunikasi yang kompetitif dalam menarik pelaburan
pada MSC Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri ICT.
9.
BoG No. 9:
Menender kontrak infrastruktur utama MSC Malaysia kepada syarikat terkemuka
yang sedia menjadikan MSC sebagai pusat utama. Objektif Polisi - Bagi merealisasikan impian Kerajaan untuk menjadi
hab ICT terkemuka dunia, Kerajaan mengakui kepentingan menarik
syarikat-syarikat terkemuka untuk bertapak di MSC Malaysia dengan menawarkan
kontrak berkaitan dengan infrastruktur utama MSC Malaysia sebagai insentif
untuk mereka membuka hab global/ serantau mereka di MSC Malaysia.
10.
BoG No. 10:
Menyediakan sebuah agensi sehenti dan diiktiraf bagi bidang ICT di Malaysia –
MDEC. Objektif Polisi - MDEC telah
ditubuhkan oleh Kerajaan untuk menjadi pusat sehenti, serta untuk memacu
pembangunan MSC Malaysia secara khusus dan industri ICT negara secara amnya ( (MDEC, 2015).
ii. Pentafsiran sendiri Akta Jaminan No. 7 (BoG No. 7):
Menjamin tiada penapisan Internet
Tiada penapisan dalam Internet tidaklah bermakna pihak
Kerajaan tidak akan memantau atau membenarkan Internet digunakan dengan mudah
dan bebas. Pihak yang terlibat atau individu di dalam MSC dilarang menyebarkan
kandungan tanpa mendapat keizinan. Jika perbuatan tersebut telah dilarang di
dunia sebenar, ia masih akan dilarang di dalam dunia siber. Oleh itu,
undang-undang melarang penyebaran bahan tanpa izin, contohnya kandungan kurang
sopan/ lucah atau mana-mana bahan tanpa izin lain akan tetap diguna pakai.
Dalam aspek ini, kementerian dan agensi berkaitan akan terus mengambil tindakan
yang sesuai dan melaksanakan undang-undang yang tertakluk di bawahnya.
iii. Cabaran-cabaran
yang bakal dihadapi oleh kerajaan berkaitan kebebasan internet.
Memetik
kenyataan daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Bin Abdul Razak Perdana
Menteri Malaysia sempena "Persidangan Transformasi Perundangan Keselamatan
dan Hak Asasi" pada 2013 lalu melalui portal web UtusanMalaysia.com
menyatakan “Konsep kebebasan, hak dan keselamatan adalah penting untuk mencapai
keadilan sosial. Hak seseorang individu dan tanggungjawabnya terhadap
masyarakat tidak boleh diasingkan kerana masyarakat menggambarkan seseorang
individu tersebut. Jika kesejahteraan masyarakat terjaga, kesejahteraan
individu juga akan turut terjaga” (Najib Razak,
2013). Tambah beliau lagi “Sejauh manakah seseorang individu mempunyai
kebebasan mutlak dalam melaksanakan haknya seperti yang dijamin oleh
undang-undang. Ia mungkin kelihatan jelas dan mudah bagi menjawab persoalan
ini, tetapi sejarah dan pengalaman telah menunjukkan bahawa kerap kali
keseimbangan yang berimbang mesti dicapai antara hak individu dengan
kepentingan kolektif” (Najib Razak, 2013).
Melalui
kenyataan Perdana Menteri di atas jelas menunjukkan dalam perlaksanaan
kebebasan internet, kerajaan perlu mengambil langkah yang berhati-hati untuk
sebarang tindakan yang akan memberi kesan kepada keselamatan negara. Sebagaimana
yang telah dinyatakan, hak kebebasan internet bukanlah bersifat mutlak kerana
melalui dasar kerajaan kebebasan itu perlulah seimbang antara hak individu
dengan kepentingan orang ramai.
Dalam
memperkatakan cabaran yang bakal dihadapi kerajaan, salah satunya ialah
tersebarnya berita palsu atau fitnah yang akan mengancam keselamatan negara.
Malah bahaya yang lebih parah daripada itu adalah kebocoran maklumat rahsia
kerajaan ke atas tangan pengganas atau pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambahan pula dengan pelaksanaan eKerajaan segala dokumen dan aset rahsia
kerajaan akan diimplementasikan ke dalam sistem simpanan data elektronik. Sudah
pasti jaringan keselamatan kepada akses dokumen ini perlu diketatkan atau
dikendalikan dengan penuh tanggungjawab. Seperti mana yang diperkatakan oleh
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Bin Hamsa menyatakan “Kepentingan
kawalan ke atas rahsia rasmi dan aset kerajaan perlu sentiasa diberi keutamaan
yang tinggi. Ini kerana ia merupakan sesuatu yang tidak ternilai” (Ali Bin Hamsa, 2013).
Manakala
Jabatan Perdana Menteri melalui ‘Pengurusan Keselamatan Dokumen Dan Premis
Kerajaan’ telah menggariskan 14 senarai punca ancaman kepada keselamatan data
elektronik negara seperti berikut: i).
Directors & Officers, ii). Employees, iii). Business Partners, iv). Clients
& Customers, v). Competitors, vi). Strategic Knowledge Brokers, vii).
People at large, viii). Political Adversaries, ix). Investigative Journalist,
x). Unfriendly Government Agencies, xi). Foreign Intelligence – Economic or
Military Spy, xii). Petty Crime and Organize Crime, xiii). Hackers, & xiv). Cyber vandalism (JPMM, 2013).
Untuk
kesalahan-kesalahan internet pula terdapat tujuh jenis kesalahan yang telah
dikenal pasti antaranya seperti : i). Extremis – menyebarkan maklumat palsu dan
pandangan extremis perkauman, ii). Jenayah siber – kecurian identiti dan
penyamaran, iii). Pornografi – kenyataan/ gambar/ video dan kecurian identiti,
iv). Perkauman – kenyataan, penipuan, peras ugut dan menakut-nakutkan, v).
Hasutan – mengekori/ menakut-nakutkan, kenyataan palsu dan penipuan, vi) Fitnah
– Peras ugut, menyebar maklumat palsu, kecurian identiti/ penyamaran, dan
kenyataan/ gambar/ video, dan vii) Keganasan – Penipuan barang curi dan
penipuan (JPMM, 2013). Manakala Rajah 1.0 pula menerangkan
tentang kesalahan-kesalahan yang sering berlaku di internet.
Rajah 1.0 Sumber : (JPMM, 2013)
Walau bagaimanapun, Kerajaan juga
perlu melihat beberapa ancaman yang bakal dihadapi dari sudut budaya dan
survival penggunaan Bahasa Kebangsaan kesan daripada kebebasan internet. Sedar
atau pun tidak kebebasan Internet juga boleh mengundang padah kepada corak
perubahan sosial-budaya dan nilai-nilai murni yang dipegang oleh rakyat
Malaysia yang terdiri dari pelbagai lapisan bangsa, agama, dan budaya.
Apabila memperkatakan tentang
budaya, sudah pasti cara hidup ketimuran telah menjadi tulang belakang kepada
kita sejak sekian lama. Budaya songsang seperti LGBT (lesbian, gay, bisexual, transgender) yang di perjuangkan oleh
sesetengah kumpulan yang kononnya mewakili kumpulan kecil masyarakat tertentu
telah mendesak kerajaan mengendurkan atau meminda beberapa polisi yang agak
bertentangan dengan norma dan kepercayaan agama yang wujud di negara ini.
Alasan yang mengatakan ia adalah desakan kebebasan dan kehendak dunia global
pada gaya hidup moden, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal masyarakat
yang sihat. Jarum-jarum halus berkenaan LGBT yang tersebar luas di laman-laman
web yang berpangkalan di luar negara dapat pula diikuti di laman web pautan
dari syarikat yang berstatus MSC Malaysia adalah sesuatu yang amat menakutkan
buat kita. Oleh itu pemantauan yang khusus perlulah dilakukan oleh pihak
kerajaan kepada laman-laman web dan syarikat yang telah diberi status MSC
Malaysia.
Manakala dari sudut survival
Bahasa Kebangsaan pula, kebebasan Internet telah mendedahkan rakyat pada
penggunaan bahasa pasar secara meluas dan tidak terkawal seperti di laman web
dan forum sembang tertentu. Perkataan atau kosa kata yang ditulis mengikut
bunyi daerah atau negeri atau mencampuradukkan dengan bahasa asing telah
mencacatkan tatabahasa dan susunan kemas Bahasa Kebangsaan seperti yang telah
di gazet kan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini secara tidak langsung telah
menghina usaha tokoh-tokoh pejuang bahasa dan kerajaan terdahulu yang telah
bertungkus-lumus berusaha dalam memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Oleh itu,
ancaman terhadap Bahasa Kebangsaan ini perlu lah diambil perhatian semula dan
sebarang penggunaan istilah bahasa asing perlulah dirujuk kepada badan yang
telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.
Selain itu, pemprosesan
prinsip dan fungsi eKerajaan memerlukan pelbagai kaedah-kaedah baru, dasar,
undang-undang dan perubahan perundangan untuk menangani aktiviti elektronik termasuk
tandatangan elektronik, arkib elektronik, kebebasan maklumat, perlindungan
data, jenayah komputer, hak harta intelek dan isu-isu hak cipta. Berurusan
dengan cara e-Kerajaan untuk tujuan menandatangani kontrak atau perjanjian
digital, yang perlu dilindungi dan diiktiraf oleh undang-undang formal. Di
kebanyakan negara membangun, ePerniagaan dan undang-undang eKerajaan tidak lagi
tersedia. Mewujudkan perlindungan dan pembaharuan undang-undang akan diperlukan
bagi memastikan privasi, keselamatan dan pengiktirafan undang-undang interaksi dan
tandatangan elektronik. Oleh itu, kerajaan di seluruh dunia perlu menangani
reka bentuk dan pembangunan infrastruktur awam, yang akan menjamin transaksi yang
selamat antara organisasi dan individu (Ndou,
V., 2004).
iv. Kementerian dan Agensi berkaitan yang
akan mengambil tindakan dan penguatkuasaan yang bersesuaian terhadap
undang-undang kebebasan Internet.
1. Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPMM).
Bagi memastikan undang-undang kebebasan internet
berkuat kuasa dan keselamatannya terkawal. Pihak kerajaan melalui Ketua
Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim bin Ali telah mengeluarkan satu arahan
bertulis yang bertajuk Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2000 (Jabatan Perdana Menteri
Malaysia, 2000). Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan Rangka Dasar
Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kerajaan serta perkara-perkara
berkaitan yang perlu diberi pertimbangan dan diambil tindakan oleh
agensi-agensi Kerajaan. Di mana, semua agensi Kerajaan adalah
dikehendaki mematuhi Rangka Dasar Keselamatan ICT (Information and
Communications Technology) Kerajaan dan melaksanakan tanggungjawab yang
ditetapkan. Untuk maksud ini, semua Ketua Jabatan adalah diminta mengambil
tindakan-tindakan berikut:
i.
Melantik
seorang Pegawai Keselamatan ICT di kalangan pegawai kanan yang bertanggungjawab
dalam melaksanakan tindakan-tindakan yang ditetapkan dalam Rangka Dasar
Keselamatan ICT. Perlantikan pegawai ini dan sebarang pertukaran perlu
dimaklumkan kepada MAMPU.
ii.
Menyediakan
semua infrastruktur keselamatan ICT menepati prinsip-prinsip keselamatan
berpandukan Rangka Dasar Keselamatan ICT dan Arahan Keselamatan yang disediakan
oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.
iii.
Menyedia dan
mengkaji semula dokumen infrastruktur keselamatan ICT bagi tujuan audit
keselamatan ICT.
iv.
Mengenal
pasti bidang-bidang keselamatan ICT yang perlu diberi perhatian rapi dan
mengambil tindakan segera mengatasinya.
v.
Memastikan
tahap keselamatan ICT adalah terjamin setiap masa (Jabatan Perdana Menteri Malaysia, 2000).
2. Unit Pemodenan
Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Malaysian Administrative
Modernisation and Management Planning Unit) (MAMPU).
MAMPU memainkan peranan penting
dalam memacu, merintis dan mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan
awam. Sebagai agensi pusat bagi pemodenan pentadbiran dan transformasi sistem
penyampaian perkhidmatan awam (MAMPU, 2016),
MAMPU melaksanakan enam (6) peranan utama iaitu sebagai:
- Penggerak dan
agen perubahan pentadbiran dan pengurusan bagi perkhidmatan awam dengan
memperkenalkan dan mempromosikan program-program pembaharuan bagi jentera
pentadbiran serta menilai dan mengiktiraf tahap prestasi agensi kerajaan
dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap, berkesan
dan responsif.
- Perancang dan
peneraju dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi Sektor Awam
dengan merancang, menggubal, menyelaras dan menilai pelaksanaan
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi Sektor Awam bagi memantapkan
sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.
- Pakar runding dalam
pengurusan organisasi, teknologi maklumat dan komunikasi Sektor Awam.
MAMPU memberi khidmat nasihat dan perundingan bagi memantapkan struktur,
sistem, prosedur kerja serta pelaksanaan pembangunan TMK ke arah
meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan agensi Kerajaan.
- Pemudah cara bagi
pelaksanaan program pemodenan dan transformasi sistem penyampaian
perkhidmatan awam. MAMPU menggembleng ilmu, kepakaran dan sumber pelbagai
pihak iaitu awam, swasta dan badan bukan kerajaan ke arah memperkasa
pemodenan pentadbiran dan sistem penyampaian perkhidmatan.
- Penyelidik
pemodenan tadbiran dan perancangan pengurusan Sektor Awam dengan
meningkatkan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan idea-idea
yang kreatif dan inovatif, berkualiti serta dapat dilaksanakan secara kos
efektif.
- Pelaksana program
promosi penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan mempromosi usaha-usaha
penambahbaikan yang diperkenalkan oleh perkhidmatan awam melalui pelbagai
saluran media (MAMPU, 2016).
3. Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM)
Di antara tujuan dan objektif penubuhan kementerian
ini ialah :
a.
Meningkatkan keupayaan penyelidikan dan
pembangunan industri kandungan secara kreatif dan inovatif.
b.
Membangun dasar dan program keselamatan
maklumat dan infrastruktur komunikasi.
c.
Menyebar dan memasarkan maklumat
kerajaan di peringkat kebangsaan dan global.
d.
Merancang, membangun, menyelaras,
melaksana dan memantau dasar-dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan
integriti teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia (KKMM, 2014).
4. Suruhanjaya
Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Peranan utama Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia Malaysia adalah mengawal selia peraturan industri berdasarkan
kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(1998) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Dalam menjalankan akta ini,
peranan Suruhanjaya ialah untuk melaksanakan dan menggalakkan objektif
dasar nasional kerajaan untuk sektor komunikasi dan multimedia (SKMM, 2010).
Ahli Suruhanjaya juga terlibat di
dalam menyelia rangka kerja kawal selia baru untuk bertumpu ke arah industri
telekomunikasi, penyiaran dan aktiviti-aktiviti dalam talian.
Fungsi-fungsi utama Suruhanjaya termasuk yang berikut:
- Mengawal selia semua perkara
berkaitan aktiviti komunikasi dan multimedia yang tidak termaktub di dalam
undang-undang komunikasi dan multimedia.
- Mempertimbangkan dan mencadangkan
reformasi kepada undang-undang komunikasi dan multimedia.
- Untuk mengawal dan memantau
aktiviti komunikasi dan multimedia.
- Melaksana dan menguatkuasakan
penyediaan undang-undang komunikasi dan multimedia.
V.
Memberi
nasihat kepada Menteri untuk semua perkara berkaitan objektif polisi negara
khusus untuk aktiviti komunikasi dan multimedia.
- Untuk menggalakkan dan mempromosi
kawal selia di dalam industri komunikasi dan multimedia.
- Memberi bantuan dalam sebarang
bentuk dan menggalakkan kerjasama dan penyelarasan di kalangan
orang-orang yang melibatkan diri dalam aktiviti komunikasi dan multimedia.
- Untuk menggalakkan dan mengekalkan
integriti semua pemegang lesen dan diberi kuasa di bawah industri
komunikasi dan multimedia.
- Untuk menjalankan setiap fungsi
seperti yang tertulis dalam undang-undang yang boleh ditentukan oleh
Menteri seperti yang diterbitkan di dalam risalah berkala.
- Untuk menggalakkan dan mempromosi
pembangunan industri komunikasi dan multimedia (SKMM, 2010).
Kesimpulan
Kesimpulannya melalui tugasan yang telah diberikan ini,
penulis berjaya dan dapat mendemonstrasikan pengetahuan dan pemahaman terhadap
kebebasan internet. Selain itu, penulis juga dapat menambah pengetahuan
mengenai peranan dan tujuan penubuhan Koridor Raya Multimedia Malaysia atau MSC
Malaysia berserta dengan cabaran-cabaran yang bakal ditempuhinya. Di samping
itu, sejarah dan tokoh yang terlibat di dalam penubuhan MSC Malaysia juga telah
berjaya penulis temui dan ketahui. Dalam masa yang sama, kementerian dan agensi
berkaitan yang akan mengambil tindakan dan penguatkuasaan yang bersesuaian
telah penulis dapat maklumi. Akhir kata, penulis berharap dengan berakhirnya
tugasan ini ia dapat membantu penulis dan lain-lain pembaca agar dapat memahami
dan mengetahui dengan lebih mendalam lagi berkenaan hal ehwal yang berlaku di
dalam negara kita umumnya dan dapat mengetahui peranan dan tujuan MSC Malaysia
khususnya.
.
Apendiks
Rujukan
Ali Bin Hamsa. (2013, Oktober 8). Pengurusan
Keselamatan Dokumen Dan Premis Kerajaan. Retrieved March 2017, from Pejabat
Ketua Pegawai Keselamatan Jabatan Perdana Menteri:
http://www.iaea.org/inis/collection/NCLCollectionStore/_Public/45/102/45102262.pdf
INTAN. (2008, October). Pelaksanaan
Kerajaan Elektronik Malaysia. Retrieved March 2017, from Institut Tadbir
Awam Malaysia: http://disac.intan.my/isac/PelaksanaanKerajaanElektronik.pdf
Jabatan Perdana Menteri Malaysia. (2000,
Oktober 1). Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 2000. Retrieved March 2017, from
Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan:
http://gcert.mampu.gov.my/SPA_bil3_2000.pdf
JPMM. (2013, Oktober 8). Pengurusan
Keselamatan Dokumen Dan Premis Kerajaan. Retrieved March 3, 2017, from
Jabatan Perdana Menteri:
http://www.iaea.org/inis/collection/NCLCollectionStore/_Public/45/102/45102262.pdf
KKMM. (2014, Disember 8). Partal Rasmi
Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia. Retrieved March 2, 2017,
from Laman Utama Objektif:
http://www.kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=269&Itemid=109&lang=ms
MAMPU. (2016). Portal Rasmi MAMPU.
Retrieved March 2, 2017, from Info Korporat: http://www.mampu.gov.my/ms/info-korporat/peranan-mampu-dan-bahagian
MDEC. (2015, Dis). MSC Malaysia.
Retrieved March 3, 2017, from Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia:
http://www.mscmalaysia.my/ms/what_is_msc_malaysia
MDEC. (2015, Disember). MSCMalaysia.
Retrieved March 10, 2017, from akta jaminan BoG:
http://www.mscmalaysia.my/ms/bogs
MSCMalaysia. (2015, Disember). MSCMalaysia.
Retrieved from apakah itu MSC?:
http://www.mscmalaysia.my/ms/what_is_msc_malaysia
Najib Razak. (2013, January). Permulaan
Baru Untuk Malaysia. Retrieved March 2017, from Rencana Utusan Malaysia :
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130115/re_01/Permulaan-baharu-untuk-Malaysia
Ndou, V. (2004). E-Government for
Developing Countries: Opportunities and Challenges. The Electronic Journal
on Information Systems in Developing Countries, 18(1), 1-24.
SKMM. (2010). Portal Rasmi Suruhanjaya
Komunikasi Dan Multimedia Malaysia. Retrieved March 4, 2017, from Mengenai
Kami Tanggungjawab Kami:
http://www.skmm.gov.my/About-Us/Our-Responsibility.aspx?lang=ms-MY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan