Khamis, 14 Disember 2017

ABPK2103 MOTIVATION







ABPK 2103

 MOTIVATION


 Pengenalan
Ramai sarjana berpendapat keperluan psikologi, kesihatan, perhubungan dan kebahagiaan lebih bernilai dari wang yang banyak, memetik kata-kata seorang pakar psikologi Universiti Harvard menyatakan “Happiness, not gold or prestige is the ultimate currency” (Tal Ben-Shahar, 2002). Manakala Weinroth (2010) seorang personaliti hiburan dan penulis buku kewangan yang terkemuka pula menyatakan “ia seolah-olah semula jadi untuk menganggap bahawa orang kaya akan lebih bahagia daripada yang lain, tetapi wang hanyalah satu bahagian dari kekayaan psikologi, jadi gambaran itu agak rumit” (Weinroth, J. D., 2010). Dari kenyataan Tal Ben-Shahar dan Weinroth itu timbul beberapa persoalan, apakah itu kebahagiaan dan kekayaan psikologi? Bagaimana caranya untuk kita memiliki kebahagiaan dan kekayaan psikologi yang sangat bernilai itu? Dan apakah mekanisme yang perlu ada untuk menjadi seorang manusia yang bahagia dan dapat memenuhi keperluan psikologinya?
Menurut Mohamad Zaki Samsudin (2015) keperluan psikologi adalah sebahagian daripada sifat manusia dan fokus kepada pembangunan psikologi yang positif. Terdapat tiga keperluan psikologi; autonomi, kompeten dan keterkaitan. Jika keperluan fisiologi bertindak balas terhadap keadaan tubuh seseorang, maka keperluan psikologi menjadi lebih proaktif. Keperluan psikologi melibatkan keinginan semula jadi untuk merasai kebebasan, kecenderungan untuk membandingkan diri dan bersaing dengan orang lain dan keinginan untuk mewujudkan hubungan interpersonal yang rapat dengan ahli keluarga dan rakan-rakan (Mohamad Zaki Samsudin, 2015).
Dalam erti kata lain, keperluan psikologi tidak se penting keperluan fisiologi tetapi ia akan menjadikan hidup kita lebih bahagia dan memberi motivasi kepada diri untuk mendapatkan kehidupan yang sempurna.
i. Definisi Keperluan Psikologi
Menurut Kamus Dewan (2014) ‘keperluan’ mempunyai tiga maksud iaitu  1. Perihal perlu: 2. Sesuatu yang diperlukan, keharusan, kemestian: 3. Dikehendaki, sesuatu yang berguna, kepentingan (Kamus Dewan, 2014). Manakala ‘psikologi’ pula bermaksud 1. Kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan: 2. Pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu: 3. Bahasa percakapan kebijaksanaan memahami sifat manusia (Kamus Dewan, 2014). Manakala menurut Huffman,Vernoy, & Vernoy (1997) menyatakan “psikologi boleh ditakrifkan sebagai kajian saintifik tentang tingkah laku manusia dan binatang” (Huffman, K., Vernoy, M., & Vernoy, J., 1997). “Tingkah laku bukan sahaja merujuk kepada cara manusia berkelakuan tetapi juga termasuk pemikiran dan perasaan manusia dan haiwan” (Bogenfurst, A. A., Siew, W. H., & Mohamed, N. H., 2013).
Manakala menurut ahli psikologi keperluan psikologi boleh ditakrifkan sebagai: keadaan psikologi di mana sesuatu itu diperlukan atau dikehendaki. Model yang paling banyak diketahui tentang keperluan psikologi adalah seperti yang dicadangkan oleh Albert Maslow dalam kertas kajiannya pada tahun 1943 (Gagnon, D., 2010). Menurut Maslow, tingkah laku manusia dikawal oleh hierarki keperluan. Keperluan manusia bermula dari keperluan asas (rendah) kepada keperluan peringkat yang lebih tinggi (lihat Rajah 1) .
Rajah 1: Teori hierarki keinginan Maslow
Sumber: Bogenfurst, A. A., Siew, W. H., & Mohamed, N. H., (2013)
Dalam teorinya, individu meningkat naik daripada tahap yang lebih rendah ke peringkat yang lebih tinggi dan ia berlaku pada satu masa. Apabila keperluan di peringkat bawah telah tercapai (berpuas hati), seseorang akan memberi tumpuan kepada keperluan di peringkat yang lebih tinggi. Apabila keperluan di peringkat bawah telah dipenuhi, ia tidak lagi diberi keutamaan. Seseorang itu mempunyai fleksibiliti untuk bergerak naik di setiap tingkat. Jika keperluan di peringkat yang lebih rendah tidak lagi dipenuhi, ia diutamakan semula dengan mengorbankan keperluan pada peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh, seseorang yang bekerja secara autonomi dan berjaya sebagai pengurus dalam sebuah syarikat (iaitu keperluan dalam peringkat aktualisasi kendiri) akan berhenti dan memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan asas (iaitu keperluan fisiologi) jika secara tiba-tiba beliau di diagnosis menghidap penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser (Gagnon, D., 2010).
Menurut beliau lagi, keinginan yang paling asas manusia adalah keinginan fisiologi, seperti makanan, minuman, tidur, dan oksigen. Maslow menjelaskan bahawa keinginan asas biasanya adalah keutamaan atas semua keinginan lain. Sebagai contoh, orang-orang yang lapar mesti mencari makanan dan pasti tidak meluangkan masa untuk melakukan sesuatu yang lain sehingga mereka telah berpuas hati terhadap keinginan kelaparan mereka. Apabila orang telah memenuhi semua keinginan fisiologi, mereka akan berusaha untuk memenuhi peringkat keinginan mereka yang seterusnya. Ia terdiri dari keinginan untuk keselamatan, seperti dari ancaman, dan mengelakkan kesakitan. Selepas keinginan ini dipuaskan, mereka akan meneruskan kepada keinginan kasih sayang dan perhubungan seperti berkawan dan bersosial dengan masyarakat. Kemudian, mereka akan sampai kepada keinginan untuk harga diri, seperti memperoleh prestij dan merasa pencapaian. Di puncak hierarki Maslow adalah keinginan aktualisasi diri. Ini akan menunjukkan bahawa seseorang individu tertentu telah mencapai potensi manusia sepenuhnya (Bogenfurst, A. A., Siew, W. H., & Mohamed, N. H., 2013).
ii. Cara memuaskan keperluan autonomi anak
ii.i.  Makna autonomi
Dari segi bahasa menurut Kamus Dewan (2014) menyatakan autonomi bermaksud pemerintahan sendiri, atau hak mengurus pemerintahan sendiri (Kamus Dewan, 2014). Manakala maksud dari sudut psikologi pula menerangkan 3 definisi makna iaitu  1. Merujuk kepada kemampuan untuk berfungsi secara bebas tanpa kawalan oleh orang lain. 2. Merujuk kepada keupayaan untuk membuat keputusan secara bebas, untuk bertindak sebagai sumber kekuatan emosi sendiri, dan untuk menguruskan tugas kehidupan seseorang tanpa bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan 3. Juga ditakrifkan sebagai keupayaan untuk bersikap mandiri, untuk melakukan perkara-perkara dengan sendirinya (Psychology Glossary, 2017).
Berlainan pula istilah psikologi menurut Mohamad Zaki Samsudin (2015) makna autonomi atau penentuan nasib sendiri adalah mengenai kebebasan memilih dan memutuskan. Pakar psikologi hari ini percaya autonomi adalah kecenderungan semula jadi manusia dan dikategorikan sebagai keperluan psikologi. Persepsi adalah penting, kita perlu percaya bahawa kita adalah punca tindakan kita sendiri, bukan ancaman, pujukan atau faktor luar yang lain. Dalam istilah akademik, ia dirujuk sebagai “perasaan dalaman bertempat pada hubungan sebab dan akibat” (Reeve, 2005). Satu lagi persepsi penting ialah persepsi untuk memilih. Autonomi hanya mungkin berlaku apabila ada nya pilihan (Mohamad Zaki Samsudin, 2015)
ii.ii. Memilih sama ada mewujudkan Persekitaran Menyokong-Autonomi atau Persekitaran Mengawal-Autonomi atau kedua-duanya?
Autonomi boleh dibahagikan kepada dua persekitaran yang berbeza:
a.       Persekitaran menyokong-autonomi - ditakrifkan sebagai persekitaran yang menggalakkan kita "menetapkan matlamat kita sendiri, mengarahkan tingkah laku kita sendiri, memilih cara kita sendiri untuk menyelesaikan masalah dan mengejar kepentingan dan nilai kita sendiri" (Reeve, 2005).
b.      Persekitaran mengawal-autonomi - ditakrifkan sebagai persekitaran di mana kita terpaksa menerima dan mematuhi peraturan-peraturan yang ketat (Mohamad Zaki Samsudin, 2015).
Bagi menjawab soalan pada bahagian (ii) tugasan ini. Melalui pengalaman, penulis gemar untuk mengaplikasikan kedua-dua cara autonomi tersebut bagi memuaskan keperluan autonomi anak malah suka untuk merujuk kepada cara yang dianjurkan oleh agama Islam. Sebagai contoh menurut Prof. Dr. Huzaemah di dalam bukunya bertajuk Didik Anak Gaya Rasulullah menerangkan “para ulama menyatakan, manusia melalui empat fasa waktu dalam kehidupannya. Pembahagian fasa itu berlandaskan pada kelayakan manusia dalam menerima dan melaksanakan kewajipannya” (Huzaemah, 2011). Antara fasa-fasa tersebut ialah:
a)      Fasa pertama – adalah waktu anak belum lahir ke dunia iaitu sewaktu beliau masih berada dalam rahim ibunya (0 tahun).
b)      Fasa kedua – bermula sejak bayi lahir ke dunia dan berakhir pada masa tamyiz atau mumaiyiz iaitu kira-kira dalam usia tujuh tahun (1-7 tahun).
c)      Fasa ketiga – bermula dari usia tamyiz iaitu tujuh tahun sehingga dewasa (7-15 tahun).
d)     Fasa keempat – bermula dengan usia dewasa (15 atau 19 tahun dan ke atas).
Untuk peringkat Fasa Pertama (0 tahun), tidak ada amalan khusus yang perlu dibuat oleh ibu bapa. Manakala isu autonomi belum timbul atau dilaksanakan lagi.  Cuma beberapa amalan baik yang boleh difikirkan untuk bakal ibu contohnya pemberian makanan bernutrisi yang tinggi bagi membantu tumbesaran janin yang baik. Selain itu, amalan ritual seperti beribadat, membaca al-Quran atau bahan-bahan ilmiah lain di galakkan untuk diamalkan. Menurut Dr. Huzaemah “ janin tidak mempunyai kewajipan bagi memenuhi hak-hak orang lain. Baginya hibah, sedekah, dan jual beli adalah tidak sah” (Huzaemah, 2011).  
Pada peringkat Fasa Kedua (1-7 tahun), Menurut Dr. Huzaemah pada fasa ini, manusia merdeka daripada pelbagai tuntutan. Mereka secara mutlak perlu mendapatkan jaminan. Allah menetapkan orang lain (waris/penjaga) bagi melaksanakan hak-haknya demi kemaslahatannya. Kewajipan itu sendiri tidak menjadi sasaran. Apa yang menjadi sasaran adalah pelaksanaan kewajipan secara sukarela ataupun dengan pilihan orang dewasa. Dalam fasa kanak-kanak, manusia tidak layak dibebankan dengan tugas dan tanggungjawab kerana fizikalnya masih lemah. Begitu juga dengan akal fikirannya yang masih belum mampu memahami perintah Allah. Atas sebab itulah, Allah tidak menghendaki kanak-kanak dibebankan dengan tugas dan kewajipan (Huzaemah, 2011). Oleh itu, pada fasa ini persekitaran menyokong-autonomi perlu diterapkan kepada anak-anak. Mereka perlu diberi kebebasan untuk memilih sebagai contoh warna kesukaan, objek dan bentuk permainan yang disukai selagi tidak berbahaya. Mereka juga digalakkan untuk menulis, mewarna dan menconteng bagi menzahirkan kreativiti dan imaginasi mereka tanpa apa-apa paksaan. Ibu bapa juga perlu menyediakan banyak kertas dan pewarna untuk tujuan itu. Malah ibu bapa tidak perlu merasa marah atau bimbang jika dinding rumah menjadi sasaran anak-anak kecil menzahirkan ekspresi imaginasi mereka. Galakkan mereka lakukan aktiviti rutin harian seperti mengemas katil sendiri, menggosok gigi sendiri, memilih pakaian sendiri dan lain-lain lagi ingatkan mereka semula jika lupa melakukannya.
Untuk Fasa Ketiga pula, iaitu 7 tahun sehingga 15 tahun. Menurut Dr. Huzaemah manusia tidak memiliki kelayakan melaksanakan syariat (perintah agama) secara sempurna. Ini kerana, kelayakan itu memerlukan dua kemampuan. Pertama, kemampuan ‘memahami perintah’ yang terbukti dengan adanya akal. Kedua, kemampuan melaksanakan syariat dengan fizikal yang kuat. Dalam fasa ini, manusia belum mencapai kesempurnaan akal dan fizikal. Kemampuan ini akan terbentuk sedikit demi sedikit. Apa yang jelas dalam tempoh ini, manusia mampu melaksanakan hak-haknya secara sempurna dan melaksanakan syariat yang minimum kerana kemampuan akal yang masih lemah (Huzaemah, 2011). Oleh itu, persekitaran mengawal-autonomi adalah paling sesuai dilakukan oleh ibu bapa. Pada fasa ini proses pembelajaran yang aktif sedang berlaku. Penerapan disiplin dan moral yang baik secara beransur-ansur adalah amat diperlukan anak-anak. Unsur-unsur luaran negatif yang cuba menarik perhatian anak-anak perlu dibendung dan dicegah dari awal. Ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan tentang waktu persekolahan, kerja rumah dan aktiviti sukan yang sihat. Ibu bapa juga perlu memberi arahan yang jelas, jawapan yang jujur dan tidak berkompromi pada perkara yang merosakkan masa hadapan anak-anak. Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata, “Perintahkan anak-anak mu mendirikan solat pada usia tujuh tahun. Sekiranya mereka masih enggan mengerjakan solat pada usia sepuluh tahun, pukul lah mereka dan pisahkan lah mereka di tempat tidur” (Huzaemah, 2011). Dalam hal ini, pukulan yang dimaksudkan hadis itu hanyalah bertujuan mendidik dan kanak-kanak berhak menerima didikan itu demi kebaikan mereka sendiri. Manakala tempoh perintah solat dan hukuman tersebut tidaklah dilakukan serentak pada umur yang sama (7 tahun). Di mana tempoh pengecualian hukuman ditangguh selama 2 tahun. Pada umur 8 dan 9 tahun adalah tempoh di mana anak-anak perlu diajar cara ibadah atau pelajaran yang betul sedikit demi sedikit sehingga mereka mampu melakukan sendiri tanpa pengawasan. Ibu bapa juga digalakkan memberikan ganjaran seperti hadiah sebagai motivasi kepada anak-anak setelah berjaya melakukannya dengan baik.
Akhir sekali Fasa Keempat (>15 tahun). Menurut Dr. Huzaemah dalam tempoh ini, mereka dianggap memiliki kelayakan menerima tugas dan berkemampuan melaksanakan tugas dengan sempurna. Mereka perlu menjalankan semua ketentuan syarak seperti perlu beriman, mengerjakan ibadah, bermasyarakat dengan baik dan lain-lain lagi. Mereka diakui sah untuk melakukan akad atau transaksi dan semua tindakan yang berhubungan dengan syariat serta akibat-akibatnya. Mereka berhak menerima segala manfaat daripada perbuatan baiknya. Mereka juga wajib dan berhak dituntut secara sempurna dalam semua perbuatannya yang salah. Mereka boleh menerima hukuman apabila melakukan sesuatu yang mewajibkan hukuman kecuali ada tanda-tanda ataupun bukti yang menunjukkan kelemahan, kebodohan dan gila (Huzaemah, 2011). Pada fasa ini, ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran menyokong-autonomi semula. Anak-anak diberikan kebebasan dalam tindakan mereka. Ibu bapa juga digalakkan untuk lebih berkomunikasi, bertukar pendapat dan mendengar luahan hati anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh bertindak sebagai pendorong, motivator atau pemandu arah untuk membina kerjaya masa hadapan anak-anak yang lebih cerah. Jika anak-anak tersilap langkah ibu bapa tidak perlu menghukum cukup sekadar nasihat untuk mereka berubah. Jika tiada perubahan berlaku, ibu bapa perlu merujuk kepada mereka yang pakar (kaunselor) atau pihak yang berwajib (pihak berkuasa) untuk khidmat nasihat perundangan.
iii. Cara memuaskan keperluan kompetensi di tempat kerja
iii.i. Makna kompetensi
Dari segi bahasa kompetensi bermaksud kecekapan (Kamus Dewan, 2014). Manakala makna dari sudut psikologi pula kompetensi merujuk kepada evident (bukti) yang boleh dibezakan dengan yang tidak (Psychology Glossary, 2017). Dari perspektif akademik, kecekapan ditakrifkan sebagai "keperluan psikologi yang memberikan sumber motivasi untuk menguasai cabaran yang optimum" (Reeve, 2005).
iii.ii. Aliran dan cabaran di tempat kerja
Cabaran terbaik untuk memenuhi keperluan kompetensi adalah cabaran yang optimum - satu cabaran yang tidak terlalu mudah atau terlalu sukar (mudah atau tidak sesuatu cabaran itu adalah satu yang subjektif). Sesuatu yang mudah untuk seseorang tidak semestinya mudah untuk orang lain. Oleh itu, adalah penting kita menyedari kebolehan sendiri, supaya dapat mencari cabaran yang sesuai dengan keadaan peribadi kita.
Jika cabaran yang dihadapi terlalu mudah, kita akan cepat bosan dan jika cabaran itu terlalu sukar, kita akan mula menjadi takut dan cemas. Walau bagaimanapun, jika cabaran itu optimum, kita akan mengalami tahap keseronokan yang tinggi dan mendorong kita mengulangi dan meningkatkan prestasi kita. Keseronokan yang kita rasakan ini disebut sebagai aliran oleh seorang ahli psikologi Rusia, Mihaly Csikszentmihalyi (Mohamad Zaki Samsudin, 2015).
Menurut Reeve (2005), aliran adalah "keadaan tumpuan yang melibatkan penyerapan holistik dalam suatu aktiviti yang berlaku apabila seseorang menggunakan kemahirannya untuk mengatasi beberapa cabaran". Apakah pengalaman aliran sebenarnya, bayangkan anda sedang melakukan sesuatu yang anda suka. Sekiranya anda seorang yang menyukai bola sepak, fikirkan semula berapa banyak masa yang anda habiskan untuk terus menerus berlatih. Adakah anda ingat penat atau bosan? Adakah minda anda bersiar-siar di tempat lain atau benar-benar menumpukan pada latihan?
Kemungkinan besar, anda tidak berasa letih atau bosan sama sekali, dan fikiran sepenuhnya tertumpu pada aktiviti yang sedang anda lakukan. Itulah apa yang ada dalam aliran: minda dan badan terlibat sama sekali, dengan apa yang dilakukan dan mengalami nya apabila melakukan sesuatu yang menawarkan cabaran yang optimum, seterusnya memenuhi keperluan untuk kompetensi anda.
Rajah 2 menunjukkan contoh model aliran yang boleh digunakan untuk mengukur tahap kemahiran dan cabaran yang dihadapi.
Rajah 2: Model Aliran
Sumber: Adaptasi dari www.ebl.org/flow_original.gif
Bagaimanakah maklumat ini membantu untuk memotivasikan diri dan orang lain? Pertama sekali, kemahiran dan kebolehan mesti diketahui, dan kemudian cabaran yang paling sesuai dengan kebolehan ini perlu dicari. Begitu juga dengan memotivasikan orang lain.
Sekiranya anda seorang penyelia, anda tidak sepatutnya memberikan tugasan yang terlalu mudah atau terlalu sukar. Ia mestilah pada tahap yang optimum supaya pekerja akan menikmati tugasan, yang pada hakikatnya membuat mereka berharap untuk belajar lebih banyak dan mengambil lebih banyak tugasan pada masa hadapan. Sekiranya anda seorang pegawai atasan dalam sesebuah organisasi, anda perlu mengawal selia tugas orang bawahan anda yang sesuai dengan tahap kebolehan yang berbeza. Jika tugas yang diberikan adalah optimum, mereka akan menikmati kerja dan merasa lebih bermotivasi untuk menyumbang kepada organisasi.
iii.iii Maklum balas Prestasi.
Pelbagai cabaran yang kita hadapi akan menjadi tidak bermakna tanpa sebarang maklum balas. Bayangkan pelajar di sekolah mengambil peperiksaan selepas peperiksaan tetapi tidak pernah menerima sebarang keputusan; Bagaimanakah mereka tahu betapa baik atau buruknya apa yang mereka lakukan? Oleh itu, maklum balas adalah sangat penting bagi mengetahui tahap prestasi semasa kita.
Apakah sumber maklum balas? Menurut Reeve (2005), terdapat empat sumber maklum balas yang berbeza seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3. Melalui Rajah di bawah juga, ia dapat membantu memberi panduan kepada kita mengekalkan atau meningkatkan  kompetensi yang telah ditetapkan.
Rajah 3: Sumber Maklum Balas
Sumber: Mohamad Zaki Samsudin (2015)

(a)    Tugas itu Sendiri (The Task Itself ) - Gred atau markah yang diterima dalam peperiksaan adalah contoh maklum balas yang datang dari tugas itu sendiri. Dalam bidang sukan pula, pingat dan trofi yang anda menangi juga maklum balas dari tugas itu sendiri.
(b)   Perbandingan Pertunjukan Masa Lalu dan Hadapan (Comparisons of Past and Present Performances ) - Perbandingan antara prestasi masa lalu dan sekarang boleh dikatakan sebagai sumber motivasi yang sangat berharga. Dari sini, seseorang akan tahu sama ada dia telah bertambah baik atau melakukan lebih buruk dari sebelum itu.
(c)    Perbandingan dengan Prestasi orang lain (Comparisons with the Performance of others) - Perbandingan dengan prestasi persembahan orang lain adalah penting untuk menunjukkan di mana tahap kita berdiri sekarang. Untuk menerima gred B dalam mata pelajaran, mungkin tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Walau bagaimanapun, jika semua orang di kelas menerima gred C dan D, bermakna gred yang anda terima adalah pencapaian sebenarnya.
(d)   Penilaian Orang Lain (The Evaluation of Others)  - Sesuatu yang kecil seperti kata-kata pujian dari ibu bapa, guru atau majikan anda, boleh menjadi penting untuk meningkatkan aras kecekapan anda (Mohamad Zaki Samsudin, 2015).
Kesimpulan
Kesimpulannya melalui tugasan yang diberi ini penulis lebih memahami keperluan psikologi dan bagaimana memuaskan keperluan tersebut. Melalui tugasan ini juga definisi keperluan psikologi, autonomi dan kompetensi dapat penulis fahami dan membezakannya dari sudut bahasa dan perspektif psikologi.
Tugas untuk menjadi ibu bapa yang baik sehingga dicontohi oleh anak-anak adalah sukar dan mencabar kini. Melalui pembelajaran untuk memuaskan keperluan psikologi anak-anak seperti menyediakan persekitaran autonomi yang sesuai, dapat menjadi langkah awal dan panduan yang berguna menjadi ibu bapa yang baik. Memuaskan keperluan autonomi anak-anak juga, perlulah dilakukan dengan hati-hati dan penuh tanggungjawab. Beberapa fasa umur anak perlu diikuti dan difahami agar anak-anak tidak terkejut dan cemas dengan perubahan yang dilakukan. Setiap peringkat tumbesaran anak-anak perlulah diikuti dan diubah sedikit demi sedikit. Ibu bapa yang cemerlang pasti akan membuatkan anak-anak mudah didampingi, malah ibu bapa lah kawan yang terbaik untuk mereka berkongsi segala apa permasalahan yang melanda.
Manakala memuaskan kompetensi di tempat kerja, sesuatu hal yang lain pula. Walaupun ia sebahagian daripada keperluan psikologi, ia perlu diseimbangkan dengan perihal di rumah dan tempat kerja. Kompetensi adalah sesuatu yang baik untuk menilai setakat mana tahap pencapaian cemerlang kita di tempat kerja. Pekerja yang cemerlang dan berjaya adalah mereka yang seimbang dan dapat mengekalkan kompetensi yang konsisten. Bagi seorang majikan pula, mengekalkan kompetensi organisasi dan kaki tangan adalah dua perkara yang sangat penting. Tanpa peningkatan kedua-dua belah pihak sudah pasti akan menyukarkan pihak majikan untuk mencapai tahap KPI yang telah ditetapkan oleh organisasi.
Akhir sekali, untuk menjadi seorang manusia yang sempurna, kaya-raya dan lengkap serba serbi secara tiba-tiba adalah agak mustahil. Tetapi dengan memiliki motivasi bagi memenuhi keperluan psikologi diri sendiri ia tidaklah begitu sukar. Matlamat hidup perlulah kita tetapkan dari sekarang, supaya perlahan-lahan tahap pencapaian keperluan psikologi kita dapat direalisasikan dan sedikit demi sedikit kita menuju kepada kecemerlangan dan kesempurnaan yang kita impikan.
 (2,973 Patah Perkataan)





.




Apendiks

               Rujukan:

Bogenfurst, A. A., Siew, W. H., & Mohamed, N. H. (2013). ABPG1103 Pengenalan Psikoogi. Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Gagnon, D. (2010). Getting your psychological needs met. Retrieved 2017, from montrealcbtpsychologist: http://www.montrealcbtpsychologist.com/userfiles/373150/file/Getting_Your_Psychological_Needs_Met.pdf
Huffman, K., Vernoy, M., & Vernoy, J. (1997). Psychology in action (4th ed.). New York, US.: John Wiley and Sons Inc.
Huzaemah. (2011). Didik Anak Gaya Rasulullah (2nd ed.). Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Kamus Dewan. (2014). Autonomi (4th ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2014). Keperluan (4th ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2014). Kompetensi (4th ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. (2014). Psikologi (4th ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Zaki Samsudin. (2015). ABPK2103 Motivation (2nd ed.). Kuala Lumpur: Open University Malaysia.
Psychology Glossary. (2017). autonomy. Retrieved June 30, 2017, from Pschology Glossary web site: https://www.psychology-lexicon.com/cms/glossary/34-glossary-a/67-autonomy.html
Psychology Glossary. (2017). Competency. Retrieved June 30, 2017, from https://www.psychology-lexicon.com/cms/glossary/36-glossary-c/8726-competency.html
Reeve, J. M. (2005). Understanding motivation and emotion. New York: John Wiley & Sons.
Tal Ben-Shahar. (2002). The Question of Happiness: On Finding Meaning, Pleasure, and the Ultimate currency. Lincoln, USA: iUniverse, Inc.
Weinroth, J. D. (2010). Your Money: The Missing Manual. California, US: O'Reilly Media, Inc.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan